Sabtu, 19 Ogos 2017 | 6:09pm
ABDUL Rahman membincangkan sesuatu dengan Pemangku Ketua Bahagian UMNO Sepanggar Datuk Yakob Khan ketika tiba bagi merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar hari ini. - Foto BERNAMA
ABDUL Rahman membincangkan sesuatu dengan Pemangku Ketua Bahagian UMNO Sepanggar Datuk Yakob Khan ketika tiba bagi merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar hari ini. - Foto BERNAMA

UMNO tak aniaya bukan Islam

KOTA KINABALU: UMNO tidak pernah menganiaya masyarakat bukan Islam dan bukan Bumiputera dalam perjuangan parti itu yang meletakkan Islam dan Melayu sebagai teras perjuangan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata sejarah membuktikan UMNO tidak meminggirkan masyarakat lain walaupun berlainan agama dan keturunan.

"Kita (UMNO) adalah parti yang berasaskan menjaga kepentingan Bumiputera Melayu dan agama Islam..itu teras (perjuangan), tapi kita tidak lupa rakan bukan Islam dan bukan Bumiputera," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Sepanggar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, yang juga Ketua Wanita UMNO Sepanggar, Datuk Jainab Ahmad dan pemangku Ketua Bahagian UMNO Sepanggar, Datuk Yakub Khan.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata keunikan itu membolehkan UMNO mampu bertahan lama dan terus menjadi tunjang kerajaan Barisan Nasional (BN) hingga ke hari ini.

Katanya, pendekatan diamalkan UMNO turut membezakan parti itu dengan parti politik lain di seluruh dunia.

"Kalau kita lihat, kebanyakan parti politk di seluruh dunia ada ideologoi politik dan ekonomi sendiri..ada komunis, prososaialis, buruh, konservatif, liberal, republikan dan demokrat.

"UMNO menumpukan pada Islam dan Melayu sebagai teras, tanpa menganiaya agama dan masyarakat lain.

"Itu yang menyebabkan kita sukar dikalahkan..tiada yang dapat menyaingi UMNO yang tidak pernah kalah sejak merdeka. Kita ada visi iaitu membangunkan sebuah bangsa dan agama tanpa meminggirkan kepentingan orang dan agama lain," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman, yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata Sabah akan terus diperintah UMNO dan BN selepas pilihan raya umum akan datang meskipun berdepan cabaran parti pembangkang baharu dan lama.

Katanya, pembangkang, termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, akan kalah kerana ia tiada visi yang besar, selain bergerak hanya untuk kepentingan peribadi.

"Kenapa saya kata dia akan kalah (Mohd Shafie)? Sebab, dia hanya mahu jadi Ketua Menteri Sabah, kita semua tahu dan kerjanya ialah untuk burukkan kita (BN), seolah-olah berkata undilah saya kerana orang di sana (BN) tidak bagus.

"Tapi UMNO lain, kita kata undilah kami (BN) kerana kamilah yang terbaik untuk anda pilih. Politik kebencian tidak akan bertahan lama," katanya.

Berita Harian X