Sabtu, 29 Julai 2017 | 6:49pm
KETUA UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya menyampaikan cendera hati kepada wakil pemerhati pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Sapi yang dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Sandakan. - Foto oleh Poliana Ronnie Sidom

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima cendera hati disampaikan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Sapi, di Sandakan. - Foto oleh Poliana Ronnie Sidom

Hak Bumiputera hilang jika pembangkang berkuasa

SANDAKAN: Keistimewaan yang dikecapi orang Melayu dan Bumiputera akan hilang sekiranya pakatan pembangkang yang ditunjangi DAP diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata biarpun pakatan pembangkang mempunyai tiga parti berasaskan Melayu, namun ia ditunjangi DAP yang anti Melayu dan Bumiputera.

Katanya, perjuangan UMNO sejak penubuhannya 71 tahun lalu adalah mengangkat martabat orang Melayu dan Bumiputera agar setaraf bangsa lain termasuk menerusi penubuhan MARA, FELCRA dan RISDA.

"Selagi kuasa ada pada UMNO, kita mampu mengangkat Melayu dan Bumiputera, tapi jika kuasa diambil Pakatan Harapan, semua yang dirancang kerajaan untuk pertahankan Melayu dan Bumiputera musnah.

"PRU-14 sangat penting, cuma beri dua pilihan sama ada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO atau pakatan pembangkang... pastikan UMNO terus menang kerana jika tidak, semua yang kita peroleh hilang dan yang rugi orang Melayu dan Bumiputera," katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Sapi di sebuah hotel di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya; Ketua UMNO Bahagian Beluran, Datuk James Ratib dan Ketua UMNO Bahagian Silam, Mohd Yusof Apdal.

Ismail Sabri berkata, sehubungan itu, ahli UMNO tidak perlu terlalu emosi dan 'goyang' apabila mendengar fitnah pembangkang terutama jika memainkan isu perkauman.

Beliau turut meminta pemimpin UMNO di setiap peringkat dan sayap UMNO bekerjasama dengan parti komponen untuk menjawab tohmahan pembangkang dan melancarkan serangan terhadap parti itu menerusi media sosial.

Pada majlis itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi pembinaan projek bekalan air menerusi dasar laut ke Pulau Timbang, Batu Sapi.

Sebanyak RM5 juta pula diperuntukkan bagi projek menaik taraf jalan Kampung Bokara dan RM2 juta bagi projek bekalan air bersih ke Kampung Bambangan, Batu Sapi.

Sementara itu, Samsudin, berkata UMNO Batu Sapi tidak memerlukan ahli yang tidak jujur dalam perjuangan dan tidak tergugat dengan isu perkauman yang dimainkan parti pembangkang kawasan itu.

Berita Harian X