Sabtu, 22 Julai 2017 | 5:12pm

Sabah tak mahu 'Brexit' terhadap UMNO dan BN - TPM

KIMANIS: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rakyat Sabah tidak mahu melakukan 'Brexit' terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana tindakan itu berisiko tinggi dan menimbulkan pelbagai kesan terhadap kestabilan politik dan ekonomi negeri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu yang kini giat dilakukan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan hanya merugikan rakyat Sabah kerana hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan membolehkan lebih banyak pembangunan dilaksanakan.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (empat dari kanan) bergambar beramai bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (tiga dari kanan), Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman serta ahli UMNO selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Zon 3, di SMK Bongawan, Kimanis. NSTP/IZHARI ARIFFIN.

Brexit merujuk kepada langkah Britain yang keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, rakyat Sabah perlu menolak usaha itu dan mengambil iktibar daripada ketidakstabilan politik suatu masa dulu yang memberi kesan kepada pembangunan di negeri ini.

"Jangan kerana mahu tukar cita rasa seperti menukar baju seolah-olah mereka akan lebih kuat, tak semudah itu.

"Sabah tak mahu menjadi 'Brexit' di Malaysia seperti United Kingdom... (rakyat) Sabah tak mahu BN serta UMNO kecundang dan jika ini berlaku UMNO dan BN bukan lagi dalam gelanggang sama dengan Putrajaya, maka bukan pemimpin terbabit (pembangkang) terima akibat, tetapi rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Zon 3 Sabah membabitkan Kimanis, Papar dan Beaufort, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Ketua UMNO Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Ketua UMNO Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail serta Ketua UMNO Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberi contoh, tindakan Britain mengambil keputusan meninggalkan Kesatuan Eropah atau 'Brexit' memberi banyak kesan kerana bukan mudah bergerak sendirian tanpa sokongan rakan negara lain dan beliau khuatir Sabah menerima kesan sama jika bertukar parti pemerintah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat Sabah tidak terpengaruh dengan usaha pemimpin pembangkang terbabit yang dulunya berada dalam UMNO untuk memisahkan UMNO dan BN sebagai parti yang mentadbir negeri ini.

Ahmad Zahid berkata, keyakinan rakyat Sabah terhadap BN yang ditunjangi UMNO terbukti berdasarkan kaji selidik Universiti Teknologi MARA (UiTM) baru-baru ini, menunjukkan penduduk masih mahukan BN memerintah negeri ini.

"Kajian itu menunjukkan 76 peratus rakyat Sabah masih memerlukan BN demi kesinambungan pembangunan, manakala 71.2 peratus menganggap BN berjaya membuat transformasi di Sabah.

"Maknanya kalau diterjemahkan kaji selidik itu, lebih 70 peratus rakyat Sabah masih mahu BN," katanya.

Berita Harian X