Isnin, 12 Disember 2016 | 9:26am

Surat layang cubaan pecah belahkan UMNO

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.

KUALA LUMPUR: Penyebaran surat layang bertujuan melaga-lagakan kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipercayai dilakukan selepas pembangkang gagal memecah belahkan kepemimpinan UMNO dari luar.

Tindakan terdesak itu disifatkan Veteran UMNO sebagai strategi pihak tertentu memecah-belahkan UMNO dari dalam, sekali gus menjatuhkan kepemimpinan Perdana Menteri selaku Presiden UMNO dan mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata pihaknya bimbang penyebaran surat layang itu boleh menimbulkan rasa was-was ahli UMNO yang beranggapan Ahmad Zahid cuba menjatuhkan ketuanya.

Sehubungan itu, Veteran UMNO meminta kepemimpinan dan ahli tidak mempercayai serta menolak surat palsu dan fitnah dajal itu walaupun pengedaran surat berkenaan tidak akan menjejaskan kepercayaan Perdana Menteri terhadap timbalannya.

Beliau berkata, tindakan itu dipercayai usaha menimbulkan keraguan dalam kalangan kepemimpinan dan ahli UMNO selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang memperlihatkan kesatuan pucuk pimpinan serta ikrar walak dilafazkan Ahmad Zahid terhadap Najib.

"Pemfitnah ini tidak tahu sejarah hubungan Zahid dengan Najib. Walak Zahid kepada Najib bukan baharu. Walak Zahid kepada Najib bermula ketika Zahid menjadi Ketua Pemuda Bagan Datoh dan ketika itu Najib menjadi Ketua Pemuda UMNO.

"Walak itu terikat rapi apabila Zahid menjadi Setiausaha Politik Najib ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan. Zahid tidak mungkin menjadi pengkhianat kepada Najib yang menjadi ketuanya sejak sekian lama.

"Zahid bukan seorang yang gelojoh dan tamak. Zahid bukan jenis manusia yang tidak tahu berterima kasih. Hanya orang yang tidak mengenali Zahid dan tahu sejarah walak Zahid kepada Najib yang akan memfitnah Zahid," katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, beberapa lampiran surat layang mengandungi senarai Kabinet baharu dengan Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri tersebar menerusi laman sosial.

Surat berkenaan antara lain menggesa anggota Kabinet mendesak Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secepat mungkin, malah undi tidak percaya di Dewan Rakyat akan diusulkan jika tuntutan itu tidak dituruti.

Berita Harian X