Ahad, 11 Disember 2016 | 11:17am

Perpaduan UMNO gusarkan pembangkang - Ismail Sabri

GAMBAR fail, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap di Penutupan Persidangan Pergerakan Wanita Umno sempena Perhimpunan Agung Umno ke -70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 30 November lalu. - Foto NSTP/Roslin Tahir
GAMBAR fail, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap di Penutupan Persidangan Pergerakan Wanita Umno sempena Perhimpunan Agung Umno ke -70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 30 November lalu. - Foto NSTP/Roslin Tahir

BERA: Perpaduan yang semakin kukuh dalam UMNO membuatkan pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk menyebarkan surat layang bagi merenggangkan hubungan antara pemimpin serta ahli parti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata UMNO semakin kukuh selepas kumpulan yang dianggap `musuh dalam selimut' meninggalkan parti.

"Pembangkang bimbang dengan kekuatan UMNO pimpinan Datuk Seri Najib Razak, malah Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) adalah orang yang paling rapat dengan Perdana Menteri dalam sejarah perhubungan mereka.

"Bermula dengan Ahmad Zahid sebagai Setiausaha Politik, menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO apabila Datuk Seri Najib menjadi Ketua Pemuda sehingga hari ini, hubungan mereka bukan sahaja dari segi kerja tetapi juga keakraban keluarga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Khatan Perdana Parlimen Bera di FELDA Sebertak, dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, tiada sebab bagi kesetiaan Ahmad Zahid diragui manakala surat layang yang terbesar hanyalah rekaan pembangkang yang mahu menimbulkan keraguan dan perpecahan dalam parti.

"Tiada siapa dalam UMNO akan percaya dengan tohmahan dan fitnah pembangkang.

"UMNO akan terus kukuh di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib sebagai presiden dan disokong Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas sebagai timbalan presiden," katanya.

Baru-baru ini, beberapa lampiran 'surat layang' kononnya mengandungi senarai Kabinet baharu dengan Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri tersebar menerusi laman sosial.

Antara kandungan surat berkenaan adalah gesaan supaya semua anggota Kabinet mendesak Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri secepat mungkin, malah undi tidak percaya di Dewan Rakyat akan diusulkan jika tuntutan itu tidak dipenuhi.

Surat yang dikatakan ditandatangani Ahmad Zahid itu turut menamakan Khairy Jamaluddin sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu, namun tidak menyenaraikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi sebarang jawatan Kabinet.

Berita Harian X