Sabtu, 3 Disember 2016 | 2:18pm

Percaya berita palsu merosakkan pemikiran orang muda

KUALA LUMPUR: Golongan muda digesa tidak mudah mempercayai berita palsu di laman sosial tanpa usul periksa jika berita itu terarah memburukkan pemimpin dan negara.

Naib Presiden Kelab UMNO Kursk Russia, Sharifah Nur Insyirah Saifuddin Shah, berkata sesuatu berita yang disiarkan dalam laman sosial tidak harus dipercayai seratus peratus jika kita tidak menelitinya secara menyeluruh.

Sharifah Nur Insyirah, 24, yang menuntut dalam bidang Perubatan Awam di Universiti Perubatan Kursk Russia, berkata golongan muda ketika ini lebih gemar membaca tajuk berita tanpa membaca isinya hingga habis.

"Selepas itu, wujud tanggapan negatif terhadap maklumat yang dibaca itu dan kemudian menyebarkan dengan versi salah.

"Mereka harus sedar bahawa meskipun berita dari media sosial adakalanya memberikan maklumat secara pantas, kita tidak seharusnya berkelakuan 'pantas' menyebarkan berita tidak sahih dan akhirnya merugikan diri sendiri serta pihak lain," katanya ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Mengenai etnik Rohingya yang dizalimi di Myanmar, Sharifah Nur Insyirah, berkata pihaknya berharap dapat memainkan peranan membantu komuniti itu.

"Apabila melihat saudara sesama Islam diperlakukan dengan kejam, ia secara tidak langsung mewujudkan sifat berperikemanusiaan untuk membantu mereka semakin menebal.

"Jadi, jika diberi peluang, kami akan membantu dan menggunakan sedikit ilmu perubatan bagi membantu etnik Rohingya sana," katanya sambil menambah kelab itu mempunyai 100 ahli di Kursk hingga kini.

NAIB Presiden Kelab UMNO Kursk Russia, Sharifah Nur Insyirah Saifuddin Shah
NAIB Presiden Kelab UMNO Kursk Russia, Sharifah Nur Insyirah Saifuddin Shah
Berita Harian X