Isnin, 26 September 2016 | 4:20pm

Had jawatan Ketua Menteri 2 penggal

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu. - Foto Ramdzan Masiam
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak menerima cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu, berkata tindakan itu bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dijalankan secara berprinsip dan bukannya `cakap tak serupa bikin'.

Katanya, kerajaan DAP Pulau Pinang seharusnya menjadi institusi pentadbiran pertama yang melaksanakan cadangan itu.

"Mereka ada mekanisme khusus bagi meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang membabitkan kuasa dan tempoh jawatan Ketua Menteri yang boleh dipegang seseorang pemimpin.

"Had kepada dua penggal ini boleh menghalang masalah salah guna kuasa dan Lim Guan Eng yang kini menjawat jawatan Ketua Menteri perlu berani melakukan perubahan politik ini.

"Kerajaan negeri juga dinasihatkan supaya tidak hanya asyik bermain politik untuk meraih perhatian masyarakat," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk mengehadkan tempoh menyandang jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal jika parti serpihan itu menguasai kerajaan.

Yee Cheu muncul sebagai ADUN yang lantang menggesa kerajaan negeri berbuat demikian, selain pernah mengusulkan cadangan berkenaan pada beberapa sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, sebelum ini.

Berita Harian X