Sabtu, 20 Ogos 2016 | 2:55pm

Rekod perjuangan baik asas kekuatan UMNO

MUSA memberikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putatan, di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Izhari Ariffin
MUSA memberikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putatan, di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Izhari Ariffin

PUTATAN: Rakyat perlu diberi penjelasan mengenai rekod perjuangan UMNO sebagai parti yang banyak berbakti bagi menangkis usaha bekas pemimpin menubuhkan parti baharu semata-mata mengalihkan sokongan rakyat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata sesiapa saja boleh menubuhkan parti, namun tidak sama dengan UMNO yang sudah lama berjuang demi kepentingan rakyat dan memiliki rekod pencapaian yang baik.

Beliau turut menyifatkan penubuhan parti baharu adalah perkara biasa dan tidak menjadi masalah atau halangan, namun rakyat perlu mengetahui parti mana yang mampu meneruskan perjuangan untuk membela masa depan mereka.

"Kita di Sabah berpandangan penubuhan parti baharu adalah perkara biasa dan mereka (bekas pemimpin UMNO) ada hak tapi yang penting kita mesti menjelaskan dan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa UMNO banyak berbakti dan ada rekod yang baik.

"Tidak semestinya parti baharu baik, contohnya di Selangor adakah PKR lebih baik daripada UMNO, begitu juga DAP di Pulau Pinang, malah ramai yang kata negeri diperintah Barisan Nasional (BN) jauh lebih baik dan teratur.

"Menukar parti atau pemimpin belum tentu membawa kebaikan, malah mungkin membawa lebih banyak masalah. Jadi, kita mesti berpandu rekod parti sedia ada dan berfikiran secara matang serta rasional menentukan apa yang baik untuk rakyat dan negara," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putatan, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Bahagian UMNO Putatan, Datuk Yahya Hussin; Ketua UMNO Penampang, Datuk John Ambrose; dan Timbalan Ketua UMNO Putatan, Datuk Arsit Sedi.

Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, berkata usaha mengukuhkan perpaduan parti juga perlu ditingkatkan hingga ke peringkat akar umbi sebagai asas untuk membolehkan UMNO terus disegani sebagai sebuah parti yang kuat.

Berita Harian X