Sabtu, 2 Julai 2016 | 8:47pm

Slogan CAT sudah terkubur

TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. - Foto Amir Irsyad Omar
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. - Foto Amir Irsyad Omar

BALIK PULAU: Slogan 'Cekap, Amanah dan Telus' (CAT) yang sering dilaungkan Kerajaan DAP Pulau Pinang sudah terkubur apabila Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri enggan meletak jawatan.

Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata Guan Eng seharusnya bertindak meletak jawatan atau bercuti sementara apabila dua pertuduhan rasuah membabitkannya dibicarakan di mahkamah.

"Ketika isu 1MDB hangat dibincangkan, Guan Eng paling lantang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak letak jawatan, walaupun isu itu hanya tuduhan semata-mata.

"Justeru, Guan Eng perlu meletak jawatan atau bercuti sementara sekali gus membuktikan beliau cakap serupa bikin dan berpegang teguh kepada slogan CAT yang sering dilaung kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Timbalan Menteri Kesihatan bersama Mahasiswa Parlimen Balik Pulau di sini, sebentar tadi.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan menasihati orang ramai supaya menjaga pemakanan sepanjang Aidilfitri ini.

Katanya, ia bagi mengelakkan orang ramai menghidapi penyakit akibat pengambilan makan tidak menentu dan berlebihan.

Berita Harian X