Selasa, 14 Jun 2016 | 12:04pm

5 agenda calon Parti Amanah Negara

Calon Parti Amanah Negara untuk PRK P067 Parlimen Kuaa Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (tengah) mengedarkan risalah ketika berkempen dan berjumpa pengundi di Chandan Puteri, Kuala Kangsar. - Foto Supian Ahmad
Calon Parti Amanah Negara untuk PRK P067 Parlimen Kuaa Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (tengah) mengedarkan risalah ketika berkempen dan berjumpa pengundi di Chandan Puteri, Kuala Kangsar. - Foto Supian Ahmad

KUALA KANGSAR: Calon Parti Amanah Negara dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli, menggariskan lima agenda bertema 'Suara Wakil Kuale' jika memenangi kerusi itu, Sabtu ini.

Ia merangkumi memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan janji seperti pembinaan jambatan Manong, menaik taraf hospital daerah dan peningkatan kemudahan awam sesuai status Bandar Diraja, selain memastikan wujud penambahan peluang pekerjaan melalui pengembangan industri asas tani, pesisiran sungai dan pelancongan.

Katanya, parti itu akan mendesak kerajaan membina laluan keluar tol untuk kemudahan penduduk sekitar Manong dan merancakkan pembangunan serta industri setempat, di samping menuntut diwujudkan pusat latihan kemahiran di kawasan Manong bagi melahirkan tenaga kerja mahir.

"Kita juga akan menyuarakan tentangan terhadap dasar kerajaan yang merugikan negara dan memudaratkan rakyat seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya pada sidang media di pejabat parti itu, di sini, hari ini.

Berita Harian X