Sabtu, 11 Jun 2016 | 4:26pm

Perak hargai dua pengumuman besar PM

MENTERI Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) merasmikan Program BN Youth Job & Career Fair 2016 di sini, hari ini.
MENTERI Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) merasmikan Program BN Youth Job & Career Fair 2016 di sini, hari ini.

KUALA KANGSAR: Dua pengumuman utama Datuk Seri Najib Razak di Perak semalam, memberi makna besar bagi negeri itu khususnya penduduk setempat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, merakamkan ucapan terima kasih bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, pengumuman Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) yang dinaik taraf menjadi universiti dan yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) membolehkannya menerima geran tahunan daripada Kerajaan Persekutuan, sekali gus memperkasakan kecemerlangannya.

Katanya, ia juga sebagai menunaikan janji Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum lalu.

"Kewujudan universiti melengkapkan pertumbuhan Kuala Kangsar sebagai pusat kecemerlangan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program BN Youth Job & Career Fair 2016 di sini, hari ini.

Zambry berkata, pengumuman Perdana Menteri berhubung pembinaan Jambatan Manong memenuhi satu daripada apa yang diikrarkan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.

Katanya, ia adalah kesinambungan impian Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, ketika menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

"Jambatan ini akan memudahkan 2,000 penduduk berulang-alik antara dua tebing Sungai Perak, selain menjamin keselamatan pelajar yang menaiki bot untuk menyeberanginya.

"Projek akan dimulakan secepat mungkin kerana Perdana Menteri sendiri mengarahkan Kementerian Kerja Raya bagi pembinaannya.

"Saya sudah berbincang dengan pihak Jabatan Kerja Raya mengenainya dan tak semestinya jambatan itu besar kerana apa yang penting penduduk dapat berulang-alik," katanya.

Perdana Menteri semalam mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM43.5 juta untuk membina jambatan dan jalan sekitar di Manong.

Terdahulu dalam ucapannya, Zambry berkata, dakwaan kononnya sudah tiga kali majlis pecah tanah dilakukan bagi pembinaan jambatan itu tetapi tidak dilaksanakan adalah tidak benar.

Berita Harian X