Sabtu, 11 Jun 2016 | 12:58pm

Calon Bebas nafi larikan diri

IZAT Bukhary Ismail Bukhary.
IZAT Bukhary Ismail Bukhary.

KUALA KANGSAR: Calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Parlimen Kuala Kangsar, Izat Bukhary Ismail Bukhary, menafikan melarikan diri selepas gagal dikesan sejak penamaan calon, Ahad lalu.

Walaupun datang dari Kelantan, beliau mendakwa tidak pernah meninggalkan Kuala Kangsar sejak penamaan calon, sebaliknya hanya berkempen berseorangan menemui pengundi tanpa poster, risalah dan ceramah.

"Saya tak lari daripada perjuangan kerana saya bukan orang kecewa jika kalah. Saya bertanding kerana tak percaya parti politik boleh memperjuangkan agama.

"Saya tak percaya parti politik, saya hanya percayakan agama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

PRK Parlimen Kuala Kangsar membabitkan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid; Dr Najihatussalehah Ahmad dari PAS; Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara) dan Izat Bukhary.

Berita Harian X