Ahad, 5 Jun 2016 | 1:40pm
AYAH Mastura, Tan Sri Mohd Yazid Baba.
AYAH Mastura, Tan Sri Mohd Yazid Baba.

Calon BN berjiwa rakyat sejak kecil - Ayah Mastura

KUALA KANGSAR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid sudah biasa mendekati rakyat sejak usia kecil dan kelebihan itu boleh memanfaatkan penduduk di kawasan parlimen itu.

Ayah Mastura, Tan Sri Mohd Yazid Baba, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Negeri Sembilan, berkata beliau sering membawa Mastura menemui rakyat sejak anaknya itu berusia 12 tahun lagi.

Katanya, ketika itu Mastura sudah menunjukkan ciri-ciri kepemimpinan, namun memilih bidang guaman.

Beliau berkata, sebab itulah Mastura tidak kekok mendampingi rakyat bersama suaminya, bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Seri Wan Mohd Khair-il Anwar Wan Ahmad.

"Ini sudah tentu kelebihan dan pilihan bijak rakyat Kuala Kangsar, jika memilihnya dalam PRK pada 18 Jun ini.

"Sebagai ayah dan bekas wakil rakyat, saya yakin dengan kemampuan Mastura membela dan memperjuangkan nasib rakyat," katanya kepada BH selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan, di sini.

Mohd Yazid berkhidmat sebagai ADUN Chembong pada 1974 hingga 1986. Beliau juga bekas EXCO Kerajaan Negeri Sembilan.

Berita Harian X