Khamis, 31 March 2016 | 12:08pm

Usul jawatan KM dihad 2 penggal - ADUN DAP

ADUN Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu mencadangkan kajian jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dihadkan kepada tempoh dua penggal sahaja kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semasa mengadakan sidang media di tingkat 46 bangunan Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu, hari ini menghantar usul mencadangkan kajian jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dihadkan dua penggal.

Yee Cheu berkata, usul bagi peringkat kajian itu diserahkan kepada Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi diteliti Jawatankuasa Perlembagaan Negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

"Saya mencabar perubahan dibuat kepada Perlembagaan Negeri Pulau Pinang membabitkan kuasa dan tempoh jawatan Ketua Menteri yang boleh dipegang seseorang pemimpin.

"Ia bertujuan membolehkan pemimpin lain yang berkaliber dilantik ke jawatan itu.

"Langkah ini bagi menghalang pemimpin yang dilantik sebagai Ketua Menteri terdedah kepada ahli perniagaan yang terlalu 'mesra' dan mengelak budaya kroni.

"Ada 92 negara mengehadkan tempoh jawatan ketua eksekutif masing-masing kepada dua penggal dan sudah tiba masanya ia dibuat di Pulau Pinang," katanya.

Berita Harian X