Rabu, 25 November 2015 | 5:42pm

Pemimpin DAP P Pinang letak jawatan sokong usul UMNO

SETIAUSAHA DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying. - Foto Mikail Ong
SETIAUSAHA DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying. - Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu meletak jawatan sebagai setiausaha pengelola DAP Pulau Pinang berkuat kuasa Ahad, kata setiausaha DAP negeri, Lim Hui Ying.

Lim berkata, Teh menghantar surat peletakan jawatannya melalui emel kepada beliau dan pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

Katanya, dalam surat itu, Teh memaklumkan kepada parti bahawa beliau mengambil keputusan itu berhubung sokongannya terhadap usul UMNO mengenai tebus guna tanah semasa persidangan Dewan Undangan Negeri pada 20 November.

"Peletakan jawatan itu, yang dibuat melalui emel bertarikh 23 November, dialamatkan kepada pengerusi dan setiausaha parti negeri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Teh tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya.

Jumaat lalu, satu usul yang dibentangkan Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Muhamad Farid Saad mendapat perhatian apabila Teh mengundi menyokongnya bersama-sama kesemua sembilan anggota dewan undangan negeri daripada Barisan Nasional, manakala lima anggota dewan undangan negeri daripada PKR, tidak mengundi.

- BERNAMA

Berita Harian X