Ahad, 21 Jun 2015 | 7:03pm

Isu logo UMNO perlu selesai ikut undang-undang - Ku Nan

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto Asyraf Hamzah
SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Isu papan tanda UMNO di ibu pejabat parti itu di Pulau Pinang yang diturunkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kelmarin perlu diselesaikan mengikut undang-undang, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Kita negara yang berundang-undang, tidak kira UMNO atau DAP, macam mana sekalipun kita mesti patuh kepada undang-undang. Jangan kita ambil undang-undang dalam tangan kita.

"Jadi kalau dia (UMNO atau DAP) tidak ikut syarat tindakan akan dikenakan oleh pihak berwajib," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program Ramadan al-Mubarak Peringkat Nasional oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Masjid Negara, di sini hari ini.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, sekiranya perkara itu berlaku di Wilayah Persekutuan sama ada di Kuala Lumpur, Putrajaya mahupun Labuan, pihaknya akan meminta pemilik premis atau papan tanda untuk membuat permohonan memasang papan tanda.

Katanya, sekiranya permohonan tidak berjaya maka pemilik papan tanda akan diberi masa dua minggu untuk menurunkannya.

Namun, Tengku Adnan menjelaskan pihaknya tidak mengetahui keadaan sebenar di Pulau Pinang dan tidak pasti sama ada UMNO Pulau Pinang telah meminta kebenaran untuk memasang papan tanda berkenaan.

"Di Kuala Lumpur, kami akan ambil tindakan kalau dia tak ikut syarat. Saya percaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain pun akan melaksanakan apa yang telah dilaksanakan oleh PBT Pulau Pinang (kalau tidak mengikuti syarat)," katanya.

Dilaporkan, penguat kuasa MBPP kelmarin cuba merobohkan struktur tulisan UMNO di depan bangunan parti itu di Jalan Macalister namun berjaya dihalang anggota parti berkenaan.

- BERNAMA

Berita Harian X