Khamis, 13 November 2014 | 1:40pm

Wakil rakyat ditegur gagal patuhi etika mesyuarat

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menegur Ahli Parlimen yang kerap tidak mematuhi etika bermesyuarat semasa sesi soal jawab.

Pandikar Amin yang sebelum ini beberapa kali mengingatkan wakil rakyat supaya hanya bertanyakan satu soalan tambahan yang ringkas dan padat, akhirnya berang apabila peringatan itu seolah-olah tidak difahami.

"Saya mahu ahli-ahli Yang Berhormat tunjuk kerjasama. Sudah hampir sejam, tapi soalan yang dah dijawab baru dua setengah. Sering kali saya ingatkan jangan tanya soalan tambahan panjang-panjang.

"Menteri yang menjawab juga hanya jawab soalan yang ditanya, jangan libatkan dasar-dasar," tegasnya.

Teguran itu dibuat semasa giliran Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) mengemukakan soalan mengenai sistem peperiksaan dalam talian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, tetapi beliau bertanyakan soalan tambahan dengan mukadimah yang terlalu panjang seakan-akan berbahas.

Pandikar Amin kemudian meminta anggota Dewan turut mengambil kira kepentingan pertanyaan mengenai isu lain yang ditetapkan dalam aturan urusan mesyuarat hari berkenaan.

Menurut peraturan mesyuarat, Speaker boleh membenarkan sehingga tiga soalan tambahan, selagi ia berkaitan dengan soalan asal yang dikemukakan. "Saya boleh beri tiga soalan tambahan kalau saya rasa isu itu mustahak. Tapi, masih ada juga yang berdiri lagi. Saya tak boleh kawal kalau semua takberi kerjasama. Tolong ingat, saya serius dalam perkara ini," kata Pandikar Amin.

Hanya satu setengah jam diperuntukkan bagi sesi soal jawab Dewan Rakyat iaitu bermula jam 10 pagi hingga 11.30 pagi.

- BERNAMA

Berita Harian X