Ahad, 24 Ogos 2014 | 11:23am
Datuk Seri Idris Haron menyampaikan ringkasan data ahli Umno Balik Pulau kepada Ketua Umno bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya selepas merasmikan majlis perwakilan Umno Bahagian Balik Pulau 2014 di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di sini semalam. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Idris Haron menyampaikan ringkasan data ahli Umno Balik Pulau kepada Ketua Umno bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya selepas merasmikan majlis perwakilan Umno Bahagian Balik Pulau 2014 di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di sini semalam. - Foto BERNAMA

PM tidak berprasangka buruk

Balik Pulau: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, menegaskan Datuk Seri Najib Razak tidak pernah berprasangka buruk terhadap mana-mana pemimpin atau orang ramai.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, berkata Perdana Menteri bersikap terbuka dan sedia mendengar pandangan pihak lain termasuk pihak yang kurang bersetuju dengan dasar negara.

Katanya, tidak ramai pemimpin negara yang mempunyai sikap terpuji sedemikian dan berpendapat rakyat terutama ahli UMNO pada peringkat akar umbi harus berasa bertuah dengan sikap Perdana Menteri itu.

"Sepanjang pengalaman bekerja dengan Perdana Menteri, beliau adalah pemimpin yang cukup baik, komited menjalankan tugas dan tidak pernah berprasangka buruk terhadap orang yang bercakap kurang manis mengenai beliau.

Pertahan dengan jiwa raga

"Selaku ahli MT UMNO, Ketua Menteri Melaka dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, saya menegaskan bahawa saya akan mempertahankan Perdana Menteri dengan jiwa raga saya, sama seperti saya mempertahankan Perdana Menteri terdahulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Balik Pulau, di sini, semalam, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Isnin lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad, menerusi blognya www.chedet.cc, menarik balik sokongan kepada Najib dan menegur pentadbirannya.

Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala yang dilakukan mereka adalah baik belaka.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan beliau tidak berniat meminta Najib meletak jawatan, sebaliknya hanya memberi teguran.

Di Ipoh, pemimpin dan ahli UMNO perlu memastikan Najib sentiasa menerima dokongan kuat kerana ia penting kepada parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Justeru, Ahli MT UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim, berharap 'pertembungan terbuka' antara Najib dengan tokoh negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad, harus dielakkan bagi memastikan perjuangan untuk mencapai kejayaan dalam PRU-14 tidak terjejas.

Katanya, beliau akan mengambil inisiatif untuk memastikan perkara itu tidak berterusan dan Najib akan menjawab apa yang disebut oleh Dr Mahathir dengan cara yang tertib dan elok.

"Datuk Seri Najib adalah seorang yang merendah diri dan sentiasa mendengar pandangan (orang lain) dan saya percaya ini boleh diselesaikan dengan baik.

"UMNO kena menang pilihan raya, lawan Tun (Dr Mahathir) tidak boleh menang pilihan raya. Tun (Dr Mahathir) lawan parti juga tidak boleh menang pilihan raya... yang boleh menang pilihan raya jika UMNO kuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timur, di sini, semalam.

Berita Harian X