Ahad, 26 Jun 2022 | 4:22pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

KPM digesa kaji penguasaan 3M pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengutamakan kajian terhadap penguasaan 3M (membaca, menulis, mengira) sebelum menyemak semula kurikulum sekolah rendah dan menengah.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata penguasaan 3M perlu diambil kira kerana ramai pelajar kini ketinggalan akibat pandemik.

"Keutamaan penguasaan 3M perlu dititikberatkan dan perlu pastikan pelajar menguasainya mengikut standard yang ditentukan dalam penanda aras antarabangsa.

"Ia haruslah juga mengambil kira ramai pelajar ketinggalan kerana pembelajaran tergendala dan tidak konsisten selama dua tahun akibat berdepan pandemik COVID-19," katanya.

BH semalam melaporkan KPM akan menyemak semula kurikulum sekolah rendah dan menengah bagi menilai dakwaan sukatan mata pelajaran terlalu sukar atau sebenarnya pelajar yang tidak biasa dengan aras kesukaran berkenaan.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan lengkap pada tahun ini, manakala Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSR) lengkap pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Noor Azimah, berkata bukan hanya silibus yang perlu dikaji, tetapi banyak lagi masalah sistematik yang perlu maklum balas daripada pengalaman guru di dalam bilik darjah ataupun pembelajaran dalam talian.

Katanya, masalah itu perlu ditangani dengan telus bukan sekadar untuk mencantikkan data atau menunggu untuk rombakan silibus kerana guru semestinya ada saluran untuk memberi maklum balas.

"Apa gunanya silibus tinggi dan kurikulum yang canggih jika tahap penguasaan 3M pun tidak dapat dicapai?

"Sudah tiba masa, guru dan pihak sekolah perlu diberi kelonggaran agar menilai pelajar mengikut tahap penguasaan mereka," katanya.

Berita Harian X