Selasa, 26 April 2022 | 10:16am
Empat sekawan yang membantu UPNM muncul juara.
Empat sekawan yang membantu UPNM muncul juara.

UPNM juarai DELIA2022

KUALA LUMPUR: Pasukan debat Kem Sungai Besi, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berjaya mengetepikan pasukan debat Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menjuarai Pertandingan Debat Belia Antara Kolej Kediaman Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2022 (DELIA2022) yang berlangsung di UPM.

UPNM beraksi selaku pencadang, manakala UPM selaku pembangkang membahaskan usul bertajuk 'Sejahtera IPT: Jawapan Kepada Masalah Kesihatan Mental dalam Kalangan Mahasiswa'

Pengarah DELIA2022, Nur Amila Dini Ahmad Nizam, berkata debat itu memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyampaikan idea mengenai isu semasa dengan penuh keyakinan.

"Diharapkan ia dapat turut melahirkan pelajar yang memiliki sifat daya saing serta berfikir pada tahap tertinggi," katanya.

Bertemakan Mahasiswa Belia Nadi Negara Perkasa, pertandingan disertai 14 pasukan itu berlangsung secara dalam talian selama tiga hari sejak 26 Mac lalu sebelum acara akhir diadakan secara fizikal di Panggung Percubaan UPM, baru-baru ini.

UPNM meraih hadiah piala dan wang tunai sebanyak RM1,000 selain turut memenangi kategori Pendebat Terbaik. UPM yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua membawa pulang piala dan wang tunai RM700.

Abdullah (kiri) menyampaikan hadiah kepada pasukan UPNM. - Foto ihsan UPNM
Abdullah (kiri) menyampaikan hadiah kepada pasukan UPNM. - Foto ihsan UPNM

Pemenang tempat ketiga, Mahallah Sumayyah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pasukan Lembah UPNM iaitu pasukan kedua UPNM, masing-masing menerima RM400.

Penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Abdullah Arshad.

Turut hadir, Pengetua K13 selaku penaung merangkap wakil penganjur utama, Sekretariat Akademik dan Sahsiah, Majlis Perwakilan Kolej, K13 UPM, Prof Madya Ir Dr Ahmad Shukri Muhammad Noor.

Program ini dijayakan dengan kerjasama pengurusan Kolej Tiga Belas (K13), Kelab Debat Bahasa Melayu UPM (KDBM Putra) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Muhammad Danial Haikal dan Ahmad Quurtubi Awwabin Azman, kedua-duanya dari UPNM, masing-masing memenangi Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Pendebat Terbaik peringkat akhir.

Ahmad Quurtubi berkata, kesemua mereka yang meminati acara debat tidak pernah berhenti berlatih selain sentiasa konsisten dalam disiplin latihan.

Berita Harian X