X
Jumaat, 31 Disember 2021 | 6:26pm
Klinik bergerak untuk haiwan sebelum ini beroperasi di Taman Sri Muda, Shah Alam. - Foto UPM
Klinik bergerak untuk haiwan sebelum ini beroperasi di Taman Sri Muda, Shah Alam. - Foto UPM

UPM buka klinik haiwan di Hulu Langat

KUALA LUMPUR: Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia menawarkan khidmat rawatan haiwan secara percuma ke Taman Sri Nanding, Hulu Langat, bermula esok.

Inisiatif itu hasil kerjasama Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA), Persatuan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor.

Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Farina Mustaffa Kamal, berkata keputusan untuk menyambung perkhidmatan ke kawasan yang terjejas teruk ekoran banjir itu dibuat selepas penelitan awal mendapati pelbagai haiwan terkesan dengan bencana terbabit.

Katanya, lokasi penempatan misi bantuan kecemasan dan perubatan untuk haiwan di depan Stesen PETRONAS Bukit Nanding, Hulu Langat, mulai jam 9 pagi hingga 6 petang.

"Selain pasukan veterinar berpusat yang ditempatkan di lokasi ini, beberapa pasukan akan bergerak dari rumah ke rumah, yang turut disokong oleh sukarelawan Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, Persatuan Penyelamat Anjing Terbiar Hulu Langat (PATH) dan Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM).

"Orang awam boleh membawa haiwan milik sendiri atau haiwan terbiar yang terkesan dengan musibah banjir ke klinik veterinar bergerak ini.

"Haiwan seperti kucing dan anjing, termasuk spesis haiwan lain akan diperiksa serta diberi rawatan oleh doktor veterinar berlesen.

"Perkhidmatan rawatan haiwan ini percuma dan disokong oleh doktor veterinar daripada pelbagai agensi serta klinik," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Misi bantuan pertama sebelum ini dijalankan selama tujuh hari di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor selepas kawasan berkenaan terjejas teruk ekoran banjir pada 18 Disember lalu.

Inisiatif amal hasil kerjasama UPM, MAVMA dan MSAVA itu menyaksikan rawatan perubatan secara percuma berjaya diberikan kepada 599 kucing, 144 anjing, seekor kura-kura dan dua burung.

Klinik bergerak di tempat itu turut mengagihkan makanan untuk menampung kira-kira 4,000 haiwan di jalanan dan terkesan dengan bencana banjir.

Farina berkata, makanan haiwan dan keperluan peralatan perubatan sumbangan Yayasan Hasanah, Rhone Ma, KM Vet Pharm, Hill's, Hospital Veterinar Universiti (UPM) dan klinik veterinar swasta.

Berita Harian X