Selasa, 14 Disember 2021 | 10:01am
Barang kitar semula di pusat sumber mampu menarik minat pelajar dan pengunjung.
Barang kitar semula di pusat sumber mampu menarik minat pelajar dan pengunjung.

Sekolahku: Kreativiti barangan terpakai

Sepang: Kreativiti sekumpulan guru dan murid dari Kolej Vokasional Sepang (KVS) di sini menyaksikan komputer lama dikitar semula dan dijadikan sebahagian hiasan pusat sumber.

Guru Perpustakaan dan Media KVS, Mohd Syukur Sahim, berkata idea itu tercetus apabila sejumlah perkakasan komputer lama disimpan di pusat sumber kolej berkenaan.

Katanya, kesemua barangan itu katanya tidak lagi boleh digunakan dan perlu dilupuskan.

"Saya dan pelajar yang bertugas sebagai pengawas pusat sumber memikirkan bersama-sama cara untuk tidak membuang perkakasan ini.

"Dari situ kami terfikir untuk menyuntik sedikit kreativiti untuk jadikan ia hiasan sebelum mendapat kelulusan untuk berbuat demikian," katanya.

Tegas Mohd Syukur, satu sudut di perpustakaan itu dinamakan Stesen #Malaysiamembaca dihiaskan dengan semua perkakasan berkenaan. Antaranya papan monitor komputer lama, diubahsuai fungsinya menjadi rak majalah dan surat khabar.

Kekemasan dan kreativiti projek stesen #Malaysiamembaca yang dihasilkan dalam tempoh dua hari itu pernah memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Reka Cipta Baran Terpakai Daerah Sepang 2019.

Sebahagian komputer terpakai yang dikitar semula untuk menjadi hiasan pusat sumber di KV Sepang.
Sebahagian komputer terpakai yang dikitar semula untuk menjadi hiasan pusat sumber di KV Sepang.

Mohd Syukur berkata, pihaknya turut menggunakan tetikus sebagai tempat meletakkan pen selain cakera padat sebagai tempat meletak kertas atau memo kecil.

Selain itu katanya, pelitup pemprosesan komputer (CPU) juga dijadikan sebagai bahan tempat meletakkan sampah kitar semula.

"Kami juga menggunakan palet sebagai tempat duduk di stesen #Malaysiamembaca selain penggunaan kain perca serta papan terbuang.

"Penggunaan barang kitar semula di pusat sumber mampu menarik minat pelajar dan pengunjung namun mereka masih perlu mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dengan mengambil kira penjarakan sosial ketika berada di dalam pusat sumber," katanya.

Menariknya lagi, pihaknya turut menggunakan bahan terbuang seperti kotak A4 bagi menghasilkan alHazen kit. Ia adalah kotak kitar semula yang bertujuan memudahkan kerja, selain menjimatkan masa dan meningkatkan kecekapan bagi melakukan kerja menjilid tugasan pelajar serta proses membalut buku.

"Penghasilan produk ini mampu memberikan impak positif khususnya dalam kecekapan melakukan kerja di perpustakaan yang berkaitan menjilid tugasan dan memproses teknik buku," katanya.

Beliau berkata lagi, aktiviti inovasi dan kreativiti itu juga mendapat sokongan dan galakan daripada Pengarah KVS, Supian Abdul Kadir dalam usaha melahirkan generasi muda yang kreatif dan inovatif.

Berita Harian X