Jumaat, 10 Disember 2021 | 4:31pm

Memandu e-hailing biayai perbelanjaan belajar di UMT

KUALA NERUS: Pengorbanan seorang penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terpaksa menjadi pemandu perkhidmatan e-hailing sambil belajar berbaloi apabila akhirnya menerima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada Majlis Konvokesyen UMT ke-18 di UMT, hari ini.

Mohamad Izwan Mohamad Fouzi, 26, dari Kulim, Kedah berkata, dia terpaksa belajar sambil menjalankan perkhidmatan e-hailing di sekitar kolejnya untuk mencari wang tambahan.

"Jika diikutkan saya mempunyai biasiswa untuk menampung perbelanjaan di UMT tetapi ia tidak mencukupi. Jadinya, saya mengambil inisiatif mencari pendapatan sampingan dengan menawarkan perkhidmatan e-hailing.

"Alhamdulillah, perkhidmatan yang ditawarkan mendapat sambutan sekali gus dapat menampung perbelanjaan tambahan sepanjang berada di UMT," katanya.

Selain itu, Mohamad Izwan juga menjadi guru ganti pada cuti semester di kampungnya.

"Saya melatih diri dan fikiran supaya sentiasa berdikari serta rajin mencari wang dengan melakukan apa sahaja kerja yang halal.

"Sekarang saya menjawat jawatan pembantu akauntan di Pejabat

Pertubuhan Peladang di Kedah," katanya.

Beliau juga berharap pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang mengalami masalah kewangan ketika melanjutkan pengajian sentiasa berusaha dan berdikari serta bijak membahagikan masa untuk bekerja dan mengulang kaji pelajaran.

"Tiada masalah mencari wang ketika belajar cuma perlu pandai bahagikan masa supaya pengajian tidak terjejas," katanya yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pertanian.

Mohamad Izwan Mohamad Fouzi, 26 menunjukkan isteri, Syahiera Salleh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan yang diterima pada Majlis Konvokesyen UMT ke-18 di UMT hari ini. - Foto GHAZALI KORI
Mohamad Izwan Mohamad Fouzi, 26 menunjukkan isteri, Syahiera Salleh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan yang diterima pada Majlis Konvokesyen UMT ke-18 di UMT hari ini. - Foto GHAZALI KORI
Berita Harian X