Selasa, 14 September 2021 | 9:00am

Peranan ibu bapa bantu mantapkan pembelajaran anak

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sudah menjadi sebahagian rutin generasi muda hari ini. Walaupun pelaksanaannya sudah masuk fasa ketiga, terlalu banyak isu dan rungutan timbul mengenainya malah ia sudah kedengaran sejak peringkat awal lagi.

Antara isu kerap disebut tentu saja masalah peranti dan capaian internet, masalah keciciran dalam mata pelajaran, tidak dapat menumpukan perhatian semasa PdPR, pasif semasa mengikuti kelas dalam talian dan kurang motivasi untuk menyiapkan kerja tambahan yang diberikan oleh guru.

Isu sebegini bukan sahaja akan membantutkan perkembangan pendidikan tetapi mungkin menyebabkan murid mempunyai masalah kemurungan jika tidak dibantu. Justeru, sebagai ibu bapa terutama mereka yang perlu bekerja seperti biasa, adakah dengan merungut akan menyelesaikan semua perkara atau membiarkan sahaja anak-anak mencari jalan keluar sendiri?

1. Kelas tambahan berbayar

PdPR ada kalanya dijalankan dengan menghimpunkan beberapa kelas dalam satu sesi. Ia menjadikan kelas yang biasanya dihadiri sekitar 30 pelajar berubah menjadi 100 atau 200 orang untuk satu sesi. Terdapat ibu bapa yang menyedari hal ini akan menyebabkan anak mereka ketinggalan malah gagal memberi maklum balas untuk setiap perbincangan yang dikemukakan guru. Ia juga menunjukkan kurangnya komunikasi dua hala dalam kelas.

Dalam hal ini, bagi ibu bapa yang berkemampuan, menyediakan kelas tambahan atau tutor peribadi adalah penyelesaian terbaik. Ia boleh dilakukan di luar waktu PdPR dengan jumlah pelajar yang jauh lebih sedikit berbanding kelas biasa malah ada juga yang belajar secara sendirian. Malah sejak PdPR dimulakan tahun lalu, permintaan kelas tuisyen atau tutor peribadi ini meningkat sebanyak 40 peratus dan semakin bertambah tahun ini.

Sebenarnya, pelaksanaan kelas tambahan atau tutor peribadi pada ketika ini sangat berbeza dengan era sebelum COVID-19. Jika dahulu, kelas sebegini diperlukan bagi membantu murid untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang lebih baik. Namun ketika ini, pelaksanaannya adalah untuk mengelakkan pelajar ketinggalan dalam pembelajaran. Kelebihan kelas sebegini adalah guru dapat bersoal jawab dengan murid dan memberi perhatian yang khusus kepada mereka. Masalah kurang faham atau tidak jelas apa yang disampaikan oleh guru sekolah boleh diatasi dengan menghadiri kelas tambahan. Selain itu tutor peribadi juga ada kalanya bertindak memantau, membantu murid membuat latihan dan tugasan yang diberikan kepada murid.

2. Kelas tambahan percuma

Bagaimanapun, tidak semua ibu bapa mampu memperuntukkan sejumlah wang untuk kelas tambahan berbayar. Jika 20 tahun dulu, bayaran kelas tuisyen ini dibuat secara bulanan atau bergantung pada tahap pembelajaran anak sama ada sekolah rendah atau menengah, hari ini bayaran umumnya mengikut subjek.

Mungkin ada yang mengenakan bayaran antara RM50 atau RM100 untuk satu subjek sebulan tetapi ada juga yang mengenakan bayaran mengikut jam dengan anggaran RM30 hingga RM80 sejam.

Jumlah itu tentu sahaja membebankan keluarga yang kurang berkemampuan apatah lagi mempunyai bilangan anak yang ramai.

Dalam keadaan inilah, pemimpin tempatan perlu tampil membantu. Selain badan bukan kerajaan, ADUN atau Ahli Parlimen kawasan berkenaan perlu berperanan dalam memantapkan pendidikan anak-anak di kawasannya.

Selain itu, terdapat juga banyak kelas tuisyen diberikan secara percuma di dalam talian. Ramai guru dan orang persendirian yang berkongsi nota pembelajaran pelbagai subjek misalnya Matematik, Sejarah, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris secara percuma dalam media sosial. Malah akhbar arus perdana juga tampil memberikan nota pembelajaran juga latihan secara mingguan. Pelajar hanya perlu bijak memanfaatkannya dan berkongsi maklumat dengan rakan lain.

Namun, satu hal yang tidak boleh dinafikan pelajar masih perlu memberi keutamaan kepada PdPR yang dijalankan dan tidak boleh mengabaikannya dengan anggapan kelas tambahan sudah mencukupi.

3. Jadual pembelajaran

Walaupun mungkin ibu bapa boleh menyediakan anak-anak dengan kelas tambahan, peranan mereka dalam membantu pembelajaran murid diperlukan terutama bagi yang di sekolah rendah.

Jadual pembelajaran yang dimaksudkan adalah yang bersesuaian dan seimbang. Sebagai contoh pembelajaran kendiri selama 30 minit sehari dan pemilihan mata pelajaran adalah mengikut pilihan anak-anak selain perlu seimbang dengan aktiviti senggang.

Jika boleh, ibu bapa ambillah inisiatif untuk duduk bersama anak dan membantu membuat kerja sekolah atau latihan yang diberikan oleh guru terutamanya murid-murid di tahap satu sekolah rendah. Ini bukanlah bermakna ibu bapa yang menyiapkan tugasan itu tetapi membimbing dan mengajar sekiranya mereka kurang faham atau kurang jelas berkenaan tugasan yang diberikan. Ini sedikit sebanyak dapat menaikkan motivasi dan semangat anak-anak untuk belajar dan seterusnya membuat latihan yang diberikan oleh guru mereka.

4. Komunikasi dengan guru

Ibu bapa juga perlu untuk mengekalkan komunikasi dengan guru dan pihak sekolah. Ini adalah penting kerana mungkin anak-anak terlepas mesej atau maklumat penting yang dikongsikan oleh guru. Malah jika berkongsi gajet dengan adik beradik lain, maklumat mudah saja berkecamuk. Jadi perlu ada komunikasi dua hala antara ibu bapa dan guru atau pihak sekolah bagi memastikan sebarang maklumat berkaitan PdPR dapat diketahui terutama mereka yang perlu keluar bekerja seperti biasa. Sekurang-kurangnya, ibu bapa peka apa yang berlaku dan perlu dilakukan oleh anak-anak mereka.

PdPR dan COVID-19 membawa lembaran baharu dalam hidup semua orang, justeru kita perlu sentiasa positif. Hal ini termasuk pencapaian akademik anak-anak terutamanya mereka yang masih berada di sekolah rendah. Sebenarnya, kelompok murid ini adalah kumpulan yang paling terkesan kerana asas kurikulum dan pedagogi yang sepatutnya mereka dapat melalui guru dan persekitaran sekolah bukan lagi menjadi alat pembelajaran kepada mereka.

Oleh yang demikian, ibu bapa perlu bersikap positif dengan memberikan pujian serta motivasi pada setiap progres yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Pada masa kini sebarang pencapaian adalah yang terbaik.

Dr Azni Yati Kamaruddin

Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Berita Harian X