Jumaat, 27 November 2020 | 12:34pm
Bangunan Universiti Malaysia Pahang (UMP). - Foto UMP
Bangunan Universiti Malaysia Pahang (UMP). - Foto UMP
Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff. - Foto UMP
Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff. - Foto UMP

UMP fokus luaskan bidang TVET aras tinggi

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan memperkukuhkan usaha memaju dan mengembangkan pendidikan tinggi dengan memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi.

Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, ketika ini, pelbagai usaha sedang dibangunkan bagi memfokuskan terhadap peningkatan keupayaan teknikal negara antaranya ialah melalui penawaran program akademik yang dipacu oleh industri.

Beliau berkata, tumpuan juga diberikan kepada jalinan kerjasama antara UMP dan industri dalam dan luar negara bagi meningkatkan lagi keupayaan teknikal kedua-dua pihak.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff. - Foto UMP
Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff. - Foto UMP

"Bagi mencapai hasrat ini, UMP merangka Pelan Strategik UMP 2021-2025 dengan memfokuskan elemen penerokaan pengetahuan baharu melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi.

"Selain itu, pengantarabangsaan dan keusahawanan graduan dalam bidang berkaitan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di peringkat global," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, turut diberi perhatian elemen kelestarian kewangan universiti dan pemantapan kecemerlangan ekosistem universiti termasuklah usaha ke arah menjadikan UMP kampus pintar dan lestari yang bakal memanfaatkan lebih 12,000 pelajar universiti ini.

Katanya, semoga usaha berterusan itu akan terus menjadikan UMP sebagai antara universiti muda yang dapat memainkan peranan penting dalam meningkatkan keupayaan teknikal negara.

"UMP berada di tangga ke-133 terbaik di Asia dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2021 yang diumumkan oleh agensi penarafan antarabangsa QS Quacquarelli Symonds baru–baru ini.

"Kedudukan ini adalah pengiktirafan terhadap peranan dan usaha UMP dalam membangun dan memperkasakan kualiti pendidikan modal insan di peringkat negara serta antarabangsa," katanya

Berita Harian X