Khamis, 26 November 2020 | 4:06pm

UUM disenarai 110 universiti terbaik Asia

ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat kedudukan ke-107 dalam QS World University Rankings (QSWUR) 2021: Asia selepas konsisten menunjukkan trend peningkatan sejak disenaraikan pada 2013.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, berkata universiti itu berjaya melonjak sembilan anak tangga padadari kedudukan ke-116 pada edisi sebelumnya, sekali gus membuktikan universiti awam (UA) itu sentiasa meningkatkan kedudukannya setiap tahun.

Katanya, dengan kedudukan itu juga, UUM berada di tangga kesembilan daripada 35 institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang tersenarai dalam QSWUR 2021: Asia.

"Jenama UUM sudah mula dikenali ramai dan diiktiraf di dunia apabila tersenarai dalam Top 110 Asia, sekali gus dapat meningkatkan kerjasama dengan pihak industri.

"Dengan pencapaian terkini dalam QSWUR 2021: Asia ini, ia akan membantu dalam menarik pelajar luar negara, selain pelajar tempatan untuk menyambung pengajian di UUM.

"Ini menunjukkan program akademik di UUM berkualiti dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, selain jaringan kerjasama dengan penyelidik terkemuka.

"Saya mengucapkan tahniah kepada warga UUM atas usaha dan komitmen bersungguh-sungguh bagi memartabatkan nama universiti hingga ke peringkat tertinggi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

QSWUR 2021: Asia mengguna pakai 11 petunjuk dalam menilai sesebuah universiti, iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, bilangan staf berkelayakan ijazah doktor falsafah (Phd) dan nisbah fakulti antarabangsa, pelajar antarabangsa serta pertukaran pelajar luar dan dalam, selain rangkaian penyelidikan antarabangsa, sitasi perstaf akademik/pensyarah dan kajian perfakulti.

Pada tahun ini, QS World University Rankings 2021: Asia menyenaraikan 634 universiti dengan 93 daripadanya pertama kali disenaraikan.

Berita Harian X