Rabu, 24 Jun 2020 | 10:37am

Sarawak: Sebanyak 191 sekolah dibuka semula

KUCHING: Sebanyak 191 daripada 193 sekolah menengah di negeri ini dibuka semula hari ini, selepas ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa 18 Mac lalu.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus, berkata, ini membabitkan 33,048 pelajar tingkatan lima dan 5,933 pelajar tingkatan enam.

Beliau berkata, semua sekolah diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

"Saya bersyukur apabila melihat sendiri sekolah mematuhi SOP seperti yang ditetapkan.

"Pihak sekolah melaksanakan tugas dengan baik dan murid memulakan sesi persekolahan seperti biasa dengan normal baharu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pembukaan semula Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Matang 2, di sini, hari ini.

Selepas meninjau sekolah terbabit, beliau turut melawat SMK Sematan dan SMK Senibong dalam daerah Lundu.

Pelajar tingkatan lima, SMK Petra Jaya Kuching, hadir ke sekolah pada hari pertama dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan COVID-19. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Pelajar tingkatan lima, SMK Petra Jaya Kuching, hadir ke sekolah pada hari pertama dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan COVID-19. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Berita Harian X