Isnin, 18 Mei 2020 | 9:07pm
Dari kiri: Nurul Izzati Mohamed, Nurul ‘Iffa Nazirah Taini Achim dan Nuur Aqilah Izzati Othman.
Dari kiri: Nurul Izzati Mohamed, Nurul ‘Iffa Nazirah Taini Achim dan Nuur Aqilah Izzati Othman.

Tiga pelajar tajaan JPA luar negara menang anugerah

KUALA LUMPUR: Tiga pelajar Malaysia tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menuntut pengajian Ijazah Sarjana Muda Microbiologi di Michigan State University, Amerika Syarikat merangkul kejayaan Class of 2020 Deparmental Award daripada Jabatan Mikrobiologi dan Genetik Molekular, College of Natural Science.

JPA dalam satu kenyataan berkata ketiga-tiga pelajar ialah Nurul Izzati Mohamed, Nurul 'Iffa Nazirah Taini Achim, masing-masing menerima anugerah Dietrich C Bauer Scholarship Award (High Honor Distinction), manakala Nuur Aqilah Izzati Othman pula Russel Duvall Endowed Scholarship Award (Research).

"Sebanyak lapan anugerah dipertandingkan dan tiga anugerah itu dibolot oleh pelajar-pelajar berkenaan. Penganugerahan ini berdasarkan kepada kecemerlangan akademik sepanjang tempoh pengajian dan kualiti serta potensi kajian yang dijalankan," menurut kenyataan itu.

Nuur Aqilah Izzati, 23, adalah penerima tunggal Anugerah Russel Duvall Endowed Scholarship dan penganugerahan itu berdasarkan penilaian panel terhadap pembentangan kajian Wheat Allergy: Do Wheat Genotypes Differ in Allergenicity.

Pelajar yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu juga menjalankan kajian bersama dengan pelajar peringkat doktor falsafah (PhD) untuk kajian bertajuk Transdermal Sensitization and Oral Elicitation of Anaphylaxis to Salt-Soluble Wheat Protein in An Adjuvant-Free Mouse Model of Wheat Allergy.

Menurut JPA, hebahan mengenai penganugerahan ketiga-tiga pelajar itu disiarkan dalam laman web rasmi Department of Microbiology and Molecular Genetics, College of Natural Science, Michigan State University. - BERNAMA

Berita Harian X