Rabu, 13 Mei 2020 | 1:28pm
Tema sambutan Hari Guru Kebangsaan 2020, Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu.
Tema sambutan Hari Guru Kebangsaan 2020, Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu.

Jasa guru mencurahkan ilmu tidak ternilai

KUALA LUMPUR: "Pengorbanan guru mendidik kita tanpa jemu tidak akan pernah terbalas, justeru mereka perlu dihargai sebaik mungkin, termasuk melalui sambutan Hari Guru setiap tahun," kata Ketua Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang, Fathul Khuzairi Mohd Fuad, 17.

Beliau berkata, walaupun negara kini berdepan COVID-19 yang mengekang pergerakan dan acara secara berdepan, sambutan itu tetap boleh diraikan secara meriah pada tahun ini melalui media elektronik dan aplikasi.

Katanya, sebagai pelajar, dia dan rakan-rakan sudah merancang ucapan istimewa buat guru SMK Seri Serdang dengan menggunakan aplikasi WhatsApp.

Ketua Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang, Fathul Khuzairi Mohd Fuad.
Ketua Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang, Fathul Khuzairi Mohd Fuad.

"Saya dan rakan-rakan sudah berbincang mengenai rancangan ini supaya mampu menampilkan ucapan menarik dan bermakna kepada semua guru kami.

"Bagi kami, jasa guru cukup besar kerana mereka bukan sahaja berperanan sebagai ibu bapa di sekolah, tetapi juga tunjang utama kecemerlangan anak bangsa dan medium penting untuk mengubah diri pelajar menjadi individu berkualiti.

"Jasa dan peranan guru tiada batas, malah ketika tempoh PKP, mereka tetap memberikan kata-kata dorongan walaupun kami tidak berada di depan mata mereka," katanya.

Ketua Pelajar SMK Bukit Jelutong Muhammad Ariff Zharfan Zulkarnain, 17, berpendapat sambutan Hari Guru tahun ini tetap boleh diraikan secara meriah melalui pelbagai cara dan kemajuan teknologi sedia ada walaupun dalam keadaan PKP.

Beliau berkata, melalui platform aplikasi gajet, medium komunikasi dalam talian dan akses sistem perhubungan baik dimiliki, pelajar boleh meraikan hari istimewa itu dengan meriah bersama guru mereka.

Katanya, setiap kelas boleh menggunakan kutipan dana kelas atau mengumpul wang setiap seorang untuk membelikan cenderamata dan mengeposnya ke rumah guru.

Ketua Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong Muhammad Ariff Zharfan Zulkarnain.
Ketua Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong Muhammad Ariff Zharfan Zulkarnain.

"Pelajar juga boleh menghasilkan video secara beramai-ramai yang memaparkan ucapan setiap seorang dengan menceritakan betapa bermakna seorang guru dan sejauh mana mereka menghargainya.

"Apa cara sekalipun, tidak kisah asalkan kita meraikan dan dapat memberi penghargaan kepada guru. Di sini juga, saya mewakili semua pelajar SMK Bukit Jelutong mengucapkan selamat Hari Guru 2020 kerana tetap gigih mendidik walau dalam masa sukar, termasuk PKP," katanya.

Berita Harian X