X
Rabu, 22 April 2020 | 10:18pm
Pembelajaran secara maya sudah lama dipraktikkan universiti terkemuka luar negara dan sudah tiba masanya Malaysia juga melaksanakan kaedah sama. - Foto hiasan
Pembelajaran secara maya sudah lama dipraktikkan universiti terkemuka luar negara dan sudah tiba masanya Malaysia juga melaksanakan kaedah sama. - Foto hiasan

COVID-19 jadikan pembelajaran maya satu keperluan

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya membataskan masyarakat dalam banyak perkara.

Namun dalam mendepani situasi itu, tidak bermakna proses pembelajaran dan pengajaran juga menjadi terbatas.

Keadaan itu terbukti apabila pembelajaran secara maya kendalian Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Massive Open Online Courses (MOOC) kini mencecah lebih 170,000 pelajar dengan aktif menawarkan 538 kursus dalam pelbagai bidang secara sepanjang hayat, sepenuh masa mahupun separuh masa dan kursus jangka pendek.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional UiTM (iCEPS), Prof Dr Azizul Halim Yahya, berkata MOOC ialah pemudah cara bagi pelbagai kaedah pembelajaran yang dilaksanakan di UiTM.

“iCEPS ialah pusat pembelajaran jarak jauh dan mengaplikasi pembelajaran dalam talian melalui sistem yang dikenali sebagai iCLASS.

“Sebagai pemudah cara bagi sistem universiti, iCEPS memperkenal pelbagai platform dan kaedah seperti sistem Ufuture dan Openlearning, bengkel dalam talian berkaitan tatacara penggunaan pembelajaran dan pengajaran.

“Ia juga menghubung menerusi ‘livechat’ bersama pasukan teknologi maklumat yang bekerja sepanjang masa secara dalam dan luar talian, bagi menjawab masalah pelajar dan pensyarah,” katanya. 

Azizul berkata, melalui kaedah dan pendekatan maya yang UiTM lakukan itu, ia juga boleh diakses dari 176 negara di dunia, manakala melalui program Trans Nasional Education (TNE), iCEPS menawarkan program secara francais, khususnya kepada negara luar.

Beliau berkata, setakat ini Maldives, Mauritius, Mesir, Bosnia, Indonesia, Zanzibar dan Uzbekistan, sudah bersetuju melalui program TNE ini dan dalam proses menandatangani perjanjian dengan iCEPS untuk kursus seperti perhotelan, perakaunan, perniagaan dan sains komputer.

“Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa UiTM adalah pelopor pembelajaran luar kampus melalui ‘e-learning’ yang bergerak mengikut keperluan semasa industri; seiring dengan pembangunan teknologi sejak 1998 lagi.

“iCEPS bukan sahaja menawarkan program diploma, ijazah dan sarjana, malah turut menawarkan pelbagai kursus jangka pendek yang terkini dengan yuran yang rendah berbanding tempat lain.

“Kursus jangka pendek ini pula direka khusus bagi memenuhi keperluan pasaran kerja dan pembangunan karier mereka yang berminat didokong pensyarah UiTM berpengalaman dalam sistem pembelajaran e-learning bersepadu menjadikan ia lebih interaktif dan efektif,” katanya. 

Beliau berkata, pembelajaran secara maya sudah lama dipraktikkan universiti terkemuka luar negara dan sudah tiba masanya Malaysia juga melaksanakan kaedah sama.

“Ini akan dapat memberi lebih fleksibiliti kepada pelajar di mana saja mereka berada, bila-bila masa tanpa terhad kepada kelas fizikal seperti sistem konvensional,” katanya.

Dari segi kualiti, Azizul menegaskan, pihaknya tidak ada kompromi dalam memastikan dan menjamin mutu pembelajaran dan pengajaran tetap terpelihara melalui proses penambahbaikan dan penilaian yang disesuaikan kehendak cara maya ini.

“Apa yang pasti, pembelajaran maya kini bukan lagi sekadar gaya atau pilihan sebaliknya sudah menjadi keperluan, terutama dalam suasana PKP dan seluruh dunia dikongkong wabak COVID-19.

“Dari sudut positif, ia melonjak rakyat negara ini dan penduduk dunia untuk peka dan bersiap sedia dengan keperluan pembelajaran dan pengajaran maya,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X