Jumaat, 20 March 2020 | 11:01am
Prof Dr Aini Ideris.
Prof Dr Aini Ideris.

COVID-19: UPM jaga kebajikan pelajar

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan bantuan makanan kepada pelajar secara percuma yang dihantar terus kepada pelajar supaya pelajar boleh kekal berada di kolej kediaman bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak COVID-19.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Setia Datuk Dr Aini Ideris, berkata sumbangan sarapan, makan tengah hari dan makan malam menelan kos perbelanjaan sebanyak RM200,000 secara langsung membantu pelajar dari segi kewangan.

Beliau berkata, pihaknya turut memberi barang keperluan diri secara percuma termasuk dengan bantuan hasil sumbangan para Alumni dan pihak luar di Cafe Kolej Canselor UPM.

“Pelajar di kolej pinggiran turut dipindahkan ke dalam kampus utama bagi memudahkan mereka mendapatkan perkhidmatan makanan dan bantuan susulan.

“Pelajar UPM yang tinggal di luar kampus boleh berhubung terus dengan Majlis Perwakilan Pelajar atau Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM jika memerlukan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua usaha dilakukan itu bagi membolehkan pelajar UPM tidak keluar daripada kampus demi kesihatan dan keselamatan dalam membendung jangkitan wabak COVID-19.

Universiti itu turut mengambil langkah proaktif dengan membuka Bilik Gerakan yang beroperasi 24 jam sebagai pusat rujukan pelajar serta Felo akan bertugas secara bergilir di Bilik Mesyuarat Kolej Canselor, UPM sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Prof Aini berkata, bagi pelajar antarabangsa, UPM menyediakan perkhidmatan kaunter Visa dan Pas dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari bagi tujuan pengambilan balik pasport dan pertanyaan dalam talian.

Katanya, UPM menyediakan kemudahan penginapan sementara di Rumah Tetamu kepada pelajar antarabangsa serta mengagihkan barangan asas untuk golongan itu serta menyampaikan pelbagai hebahan terkini melalui media sosial.

“Selain itu, kami juga menyediakan kemudahan pengangkutan untuk pergerakan pelajar ke kedai di Taman Sri Serdang bagi urusan pembelian barang keperluan diri.

“Masa pembelian dihadkan iaitu bermula dari jam 10 pagi dan 5 petang dengan kaedah pelajar digalakkan untuk mewakilkan rakan bagi membeli barangan keperluan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X