Isnin, 6 Januari 2020 | 11:33am
SEBAHAGIAN pelajar sekolah SJKC San Yuk menerima sumbangan kasut sekolah pada program khidmat masyarakat, Back To School anjuran syarikat Gatti (M) Sdn Bhd. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
SEBAHAGIAN pelajar sekolah SJKC San Yuk menerima sumbangan kasut sekolah pada program khidmat masyarakat, Back To School anjuran syarikat Gatti (M) Sdn Bhd. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sumbangan 2000 kasut sekolah Gatti gembirakan pelajar

RAWANG: Syarikat Gatti (M) Sdn Bhd iaitu pengeluar barangan sukan jenama tempatan melaksanakan tanggungjawab korporat sosial dengan mengedarkan sebanyak 2,000 pasang kasut hitam di enam sekolah.

Pengarahnya, Jeck Low, berkata pihaknya terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan memandangkan masih ada lagi yang menggunakan kasut sekolah berwarna putih selain membantu golongan kurang berkemampuan.

Katanya, sekurang-kurangnya pemberian ini dapat menggembirakan kanak-kanak yang ingin memulakan hari persekolahan pada tahun ini dengan lebih bersemangat.

"Setiap sekolah kita mengagihkan sebanyak lebih 300 pasang kasut sekolah hitam dan jumlah keseluruhan nilainya hampir RM60,000.

"Selain itu, kita juga ingin menyatakan bahawa Gatti adalah jenama tempatan dan sudah mengeluarkan kasut sekolah hitam selama dua tahun di pasaran pada harga berpatutan. Justeru, ibu bapa tidak perlu berasa terbeban membeli kasut sekolah berwarna hitam kerana harga jenama Gatti, berbaloi dengan kualitinya," katanya ketika ditemui selepas mengedarkan kasut sekolah di beberapa sekolah berdekatan, dekat sini.

Enam sekolah yang menerima sumbangan berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Teja, SK Bandar Baru Rawang, SK Bandar Tasik Puteri, SK Selayan Baru, SK Jenis (C) Sun Yuk dan SK Jenis (C) Selayang Baru.

GURU Besar SK Bandar Baru Rawang, Norliza Idris. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
GURU Besar SK Bandar Baru Rawang, Norliza Idris. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

PENGARAH Gatti (M) Sdn Bhd, Jeck Low dan Guru Besar SK Bandar Baru Rawang, Nor Liza Idris (kiri) menyerahkan sumbangan kasut sekolah kepada pelajar-pelajar pada program khidmat masyarakat, Back To School anjuran syarikat Gatti (M) Sdn Bhd. di sekolah SK Bandar Baru Rawang. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

JECK LOW dan Nor Liza menyerahkan sumbangan kasut sekolah kepada kembar, Azmi Faizal (dua kiri) dan Azman Faizal, 10, pada program khidmat masyarakat, Back To School anjuran syarikat Gatti (M) Sdn Bhd. di sekolah SK Bandar Baru Rawang. NSTP/Halimaton Saadiah

Sementara itu, Guru Besar SK Bandar Baru Rawang, Norliza Idris, berkata sumbangan dari pihak Syarikat Gatti ini sangat dialu-alukan kerana ia dapat membantu pelajar sekolah dari kalangan B40.

Katanya, pihaknya juga sentiasa membuka ruang kepada mana-mana syarikat untuk menghulurkan bantuan kerana kebanyakan komuniti di sini adalah B40."Terima kasih kepada Syarikat Gatti kerana memilih sekolah ini dan berharap ada peluang lain yang boleh dikembangkan lagi," katanya.

Bagi pelajar kembar, Azman dan Azmi Faizal, 10, berkata mereka sungguh gembira dan bangga kerana menjadi antara yang terpilih menerima sumbangan kasut sekolah hitam ini.

"Sekurang-kurangnya kami ada tambahan kasut sekolah berwarna hitam untuk ditukar-tukar nanti dan mungkin tahun hadapan ayah tidak perlu membeli kasut sekolah lagi," katanya.

Berita Harian X