Khamis, 31 Oktober 2019 | 4:12pm
MJIIT adalah sebuah fakulti di Malaysia yang menawarkan pendidikan kejuruteraan berorientasikan gabungan budaya Timur dan nilai murni Malaysia serta Jepun. - Gambar ihsan UTM

Graduan MJIIT UTM cipta kerjaya di Jepun

JOHOR BAHRU: Pelbagai inisiatif dilakukan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) di bawah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk memastikan graduan dilahirkan ‘laku’ di pasaran seiring mendepani cabaran dunia pekerjaan masa ini.

Usaha itu antaranya melalui sesi mentoring bersama-sama guru bahasa Jepun yang didatangkan khas oleh Japan International Cooperation Agency (JICA) bagi membantu pelajar meningkatkan kefahaman terhadap budaya dan bahasa Jepun.

Pada masa sama, platform itu bagi membantu pelajar melengkapkan persediaan sebelum mengikuti latihan industri dan program mobiliti ke negara matahari terbit berkenaan.


ABDUL HAKIM Sahidi (duduk, empat dari kiri) ketika mewakili UTM pada Kejuaraan Terbuka RoboCup Jepun 2016 di Aichi, Jepun.

Graduan MJIIT, Mohd Hilmi Zakaria, 24, berkata institut itu menyediakan asas kemahiran kejuruteraan dan pembelajaran bahasa Jepun serta membantunya mendalami ilmu kendiri dalam mencipta kerjaya terbaik.

“Saya memang bercita-cita untuk bekerja di Jepun suatu hari nanti dan secara jujurnya, MJIIT adalah pencetus utama untuk mengekalkan impian dan menjadikan ia realiti kerana MJIIT dilengkapi dengan teknologi berkaitan Jepun, di samping mempunyai kerjasama yang erat dengan industri Jepun.

“Di samping itu, ia turut meningkatkan keyakinan saya bagi memperluaskan pemahaman mengenai pendidikan Jepun, budaya dan teknologi kejuruteraan,” katanya kepada BH.

Hilmi kini berkhidmat sebagai jurutera perisian di ZMP Inc, Tokyo.


ABDUL HAKIM Sahidi

Lebih membanggakan lagi, graduan cemerlang MJIIT, Abdul Hakim Sahidi, 26, kini dilantik menjadi Pengarah Urusan kepada Leave a Nest Malaysia Sdn Bhd.

Graduan program Kejuruteraan Sistem Elektronik yang mempunyai semangat profesional tinggi dalam bidang perniagaan dan menguruskan perniagaan sendiri itu turut berterima kasih kepada pengurusan MJIIT sepanjang menuntut di universiti terbabit.

“Kejayaan ini membuktikan kebolehpasaran graduan MJIIT adalah tinggi hasil gabungan penerapan nilai murni budaya pendidikan di Jepun dan kualiti akademik UTM sendiri dalam melahirkan graduan holistik serta berdaya saing untuk membina kerjaya selepas tamat pengajian,” katanya.

MJIIT adalah satu-satunya fakulti universiti di Malaysia yang menawarkan pendidikan kejuruteraan berorientasikan gabungan budaya Timur dan nilai murni Malaysia serta Jepun.

Berita Harian X