Rabu, 30 Oktober 2019 | 3:19pm
SEBAHAGIAN 150 pelajar SPM yang menyertai Seminar SPM BH Skor tajaan Bank Pembangunan Malaysia Berhad di UniKL, baru-baru ini. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Peroleh maklumat bermanfaat cara menjawab SPM

KUALA LUMPUR: Seramai 150 pelajar mengikuti Seminar SPM BH Skor tajaan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), di sini, baru-baru ini.

Seminar yang memfokuskan mata pelajaran teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah itu mendedahkan pelajar dengan teknik menjawab soalan mengikut keperluan peperiksaan terkini.

Program dua hari dengan kerjasama Jabatan Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press Bhd (NSTP) itu dimulakan sejak 2014 yang turut menaja Klinik UPSR bagi pelajar Tahun Enam.

Program kali ini membabitkan lima sekolah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.


PESERTA Seminar SPM BH Skor tajaan Bank Pembangunan Malaysia Berhad tekun mendengar penerangan yang disampaikan penceramah di UniKL, baru-baru ini. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Pelajar St John's Institution, Muhammad Irfan Firdaus Mohd Indera, teruja memperoleh panduan dan teknik menjawab peperiksaan daripada penceramah berpengalaman pada program itu.

Beliau berkata, pelbagai soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diberikan oleh penceramah banyak membuka mindanya untuk mendapatkan jawapan yang memenuhi kehendak soalan.

“Penerangan dan teknik yang diberikan memang bermanfaat kepada semua peserta bagi persediaan sebelum SPM.

“Penyampaian penceramah juga menarik dan menyeronokkan yang memudahkan saya untuk memahami penerangan mengenai sesuatu topik terutama bagi subjek Sejarah dan Bahasa Inggeris,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan, Puteri Aqila Balqis Engku Abd Aziz, berkata banyak maklumat yang diperoleh menerusi seminar berkenaan.

“Kaedah dan penyampaian serta tunjuk ajar penceramah memberi peluang kepada saya untuk menggabungkan input diperoleh dengan pengajaran guru di sekolah,” katanya.

Berita Harian X