Sabtu, 19 Oktober 2019 | 6:06pm
Zawiah Sulaiman bersama suaminya Maaroh Ramli melihat Anugerah Anumerta yang diterima oleh Allahyarham, Mohd Faiz Maaroh pada Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK). - NSTP/Nor Amalina Alias

Kuatkan hati terima anugerah Anumerta

BACHOK: Ketika ibu bapa lain gembira menyambut kejayaan anak mereka menamatkan pengajian, sepasang suami isteri terpaksa menguatkan hati menerima Anugerah Anumerta anak pada Istiadat Konvokesyen Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan kepada waris penuntut Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Teknologi Kreatif, Mohd Faiz Maaroh, yang meninggal dunia tanpa sempat menamatkan pengajian.

Zawiah Sulaiman, 48, berkata apa yang lebih memilukan ialah kejayaan itu adalah milik anak sulung daripada tujuh beradik yang menjadi anak pertama memasuki universiti.

“Namun, sudah ditakdirkan meninggal dunia di usia 23 tahun dalam kemalangan jalan raya pada 25 Januari 2017.

“Pada mulanya saya dan suami tidak mahu datang sebab bagi kami sudah tiada apa lagi untuk diraikan, apatah lagi terpaksa menanggung rasa sedih apabila melihat orang lain meraikan bersama anak mereka.

“Bagaimanapun, kerana prihatin kepada UMK, kami kuatkan hati untuk naik ke pentas mengambil anugerah anak kami,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengimbau kejadian yang meragut nyawa anaknya, Zawiah berkata Allahyarham baru menamatkan latihan industri di Terengganu dan ingin ke UMK kampus Bachok bagi proses pertukaran latihan industri di Perak pula.

Namun, katanya, ketika dalam perjalanan ke UMK Bachok, sebuah motosikal yang ingin memotong terlanggar motosikal yang ditunggang anaknya, menyebabkan arwah terbabas dan meninggal dunia di tempat kejadian di Jalan Kampung Perol, Peringat, di sini.

“Itulah kali terakhir saya jumpa dia. Dia anak yang banyak bercakap, dan apapun, saya tetap bangga dengan kejayaannya hari ini,” katanya yang tinggal di Kampung Banggol Stol, Pasir Mas.

Sementara, suaminya, Maaroh Ramli, 52, tidak dapat menahan sebak ketika ditanya wartawan dan hanya mengucapkan “nak buat gano, dah sampai masa dia” dan “tak tahu nak cakap apa”, dengan bergenang air mata.

Dalam majlis hari ini, Zawiah adalah salah seorang daripada dua waris pelajar meninggal dunia yang dijadualkan menerima Anugerah Anumerta anak masing-masing sempena konvokesyen UMK.

Wakil kepada keluarga Allahyarhamah Farah Hani Mohd Salleh, pelajar Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Pelancongan, tidak hadir.

Berita Harian X