Sabtu, 19 Oktober 2019 | 4:45pm

Dua lagi MRSM bakal dibina di Sarawak

MUKAH: Dua lagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bakal dibina di Sarawak berikutan peningkatan jumlah pelajar yang berpotensi melanjutkan pelajaran mereka ke institusi pendidikan itu.

Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Sarawak, Dr Azmi Amat Murjan, berkata dua maktab berkenaan, masing-masing akan dibina di Bintulu dan Lawas.

Di Bintulu, katanya, pembinaan maktab itu akan dilaksanakan melalui kerjasama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

“Di Sarawak, permintaan pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM sangat tinggi dan atas dorongan itu, kita akan membina dua lagi maktab baharu sebagai tambahan kepada tiga yang sedia ada,” katanya pada Majlis Graduasi MRSM Mukah Ke-9, di sini hari ini.

Keseluruhannya, 130 pelajar Tingkatan 5 MRSM Mukah diraikan pada majlis berkenaan.

Azmi ketika mengulas lanjut, berkata Sarawak ketika ini memiliki tiga MRSM, masing-masing di Mukah, Kuching dan Betong.

“MRSM ditubuhkan dengan matlamat untuk memberikan kemudahan serta suasana kondusif untuk pelajar, terutama dari kawasan pedalaman dan luar bandar,” katanya.

Berita Harian X