Jumaat, 18 Oktober 2019 | 3:37pm
ROBOT Naseem ciptaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diperkenalkan pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA. NSTP/Ihsan Pembaca

UniSZA cipta Robot Naseem

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sekali lagi mencatat sejarah tersendiri apabila memperkenalkan Robot Naseem yang dicipta oleh lima pensyarah Fakulti Rekabentuk Industri dan Teknologi (FRIT) dan Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK), baru-baru ini.

Kehadiran Robot Naseem itu mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 1,500 graduan, kakitangan dan ibu bapa di dalam Dewan Al-Muktafi Billah Shah pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA, di sini.


ROBOT Naseem ciptaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diperkenalkan pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA. NSTP/Ihsan Pembaca

Pengarah Pusat Perancangan Strategik dan Pengurusan Sistem Kualiti & Risiko UniSZA, Prof Madya Engku Fadzli Hasan Syed Abdullah, berkata robot itu diberi nama Naseem yang bermaksud Hembusan Bayu Yang Lembut bersempena lapan nilai teras yang terkandung pada lapan kelopak utama pada logo UniSZA.

“Antara lapan nilai teras itu ialah Ilmu, Iman dan Akhlak, Amal, Kepimpinan, Kolaborasi, Keusahawanan, Transformasi dan Inovasi,” katanya.

Engku Fadzli Hasan berkata, Robot Naseem direkabentuk, dibangunkan dan diprogramkan sepenuhnya oleh kakitangan UniSZA.

Beliau berkata, robot itu hasil kepakaran bidang Mechanical, Electronic, Computing and Arts Research Group (MECCA) iaitu kumpulan penyelidikan yang terdiri dari lima pensyarah di FRIT dan FIK.

“Robot Naseem yang dicetak menggunakan teknologi cetakan 3D itu mengambil masa hanya tiga minggu untuk disiapkan.

“Robot Naseem adalah robot ketiga yang dibangunkan oleh MECCA dan akan mewakili UniSZA dalam pertandingan Robocon peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam tempoh terdekat,” katanya.

Berita Harian X