Khamis, 17 Oktober 2019 | 12:51pm
Pasukan robotik Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang akan mewakili negara pada The Maker Robot Festival In Ulsan di Bandaraya Ulsan Korea. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

SK Seri Terentang bersaing di Korea Selatan

PEKAN: Lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang, di sini, terpilih membawa cabaran negara ke ‘The Maker Robot Festival’ di Ulsan, Korea Selatan, dari Sabtu hingga 21 Oktober ini.

Ia adalah penyertaan julung kali sekolah itu di pentas antarabangsa selepas dua tahun aktif dalam bidang robotik, dengan murid terbabit bakal bertanding kategori Sumobot.

Murid berkenaan ialah Muhammad Imran Mazlan, 10; Muhammad Baqir Borhan, 12; Muhammad Danish Fawwaz Mohamad, 11; Nurul Iman Mazlan, 11; dan Nur Ishamina Amni Mohd Imeran, 10.

Guru penasihat, Mazlan Muhamad Yusof, berkata walaupun masih cetek pengalaman, tidak mustahil untuk kejayaan berpihak kepada mereka yang menunjukkan kesungguhan dan semangat tinggi.

Sebagai persiapan, beliau berkata, murid terbabit menjalani latihan antara dua hingga tiga jam sehari selepas waktu sekolah, dalam usaha mempertingkatkan kemahiran menghadapi saingan festival itu yang disertai kira-kira 30 pasukan dari lima negara meliputi Malaysia, Filipina, Cina, Jepun dan Korea.

“Pasukan SK Seri Terentang menerima jemputan penganjur untuk menyertai festival itu, terutama selepas mencatat beberapa kejayaan pada pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa di negara ini sepanjang tahun lalu.

“Sokongan pihak sekolah, ibu bapa, murid dan penaja menjadi pencetus pencapaian membanggakan SK Seri Terentang dalam pertandingan robotik sepanjang tempoh dua tahun ini,” katanya ketika ditemui, di sini.

Mazlan berkata, kemahiran murid terbabit menghasilkan robot yang mampu melakukan pelbagai aktiviti, dilihat begitu istimewa.

“SK Seri Terentang juga akan menyertai pertandingan ‘maker’ robotik dunia di Guangzhou, China, yang menghimpunkan lebih 200 pasukan mewakili 60 negara, bulan depan.

“SK Seri Terentang ke pertandingan itu selepas muncul juara pertandingan ‘maker’ robotik peringkat kebangsaan di Bangi, Selangor, baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Baqir berharap penyertaan pasukan mereka di Korea Selatan diharap membuahkan kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa.

“Saya berharap robot dihasilkan mampu memberi cabaran dalam kategori Sumobot. Kekuatan menjadi kelebihan setiap robot,” katanya.

Berita Harian X