Isnin, 14 Oktober 2019 | 11:39pm
CANSELOR Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian, Wan Alif Asyraf Wan Nor Rudin pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-11 hari ini di Kampus Gong Badak. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Graduan digesa jiwai semangat, nilai patriotisme

KUALA NERUS: Graduan perlu sentiasa menjiwai semangat patriotisme dan sayangkan negara dalam setiap tindakan.

Malahan, mereka patut mengetepikan sepenuhnya perbezaan agama, ideologi politik serta bangsa yang boleh memberi kesan negatif kepada perpaduan rakyat.

Sultanah Terengganu yang juga Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Sultanah Nur Zahirah, bertitah nilai patriotisme termaktub kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara wajar menjadi asas kepada perpaduan rakyat Malaysia.

“Meskipun kita hidup dalam realiti kepercayaan dan budaya, nilai toleransi perlu sentiasa dipupuk agar perpaduan dapat dikekalkan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Majlis Idul Ilmi (Konvokesyen) UniSZA Kali Ke-11 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berangkat ke majlis terbabit.

Pada majlis itu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil atas jasanya dalam bidang pengurusan perniagaan dan perbankan di negara ini.

Majlis Idul Ilmi yang berlangsung selama empat hari bermula semalam membabitkan seramai 3,474 graduan termasuk 61 penerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (102 penerima), Ijazah Sarjana Muda (1,992 penerima) dan Diploma (1,319 penerima) dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Sultanah Nur Zahirah juga berharap agar graduan dapat menghayati konsep pengabdian diri kepada Allah SWT berdasarkan pendekatan Ahlu Sunnah Wal Jamaah serta membudayakan hidup berteraskan akauntabiliti supaya menjamin integriti dalam seluruh aspek kehidupan.

Titah Baginda, ini selari dengan rukun negara yang menyebut secara jelas mengenai kepercayaan kepada Tuhan.

"Justeru, ilmuwannya harus lebih menzahirkan akidah tauhid ini secara kontemporari dan praktikal agar dapat membendung gejala liberalisme, sekularisme, atheisme dan lain-lain ideologi yang boleh menggugat kestabilan negara," titahnya.

Berita Harian X