Isnin, 14 Oktober 2019 | 3:47pm
Sebahagian daripada 150 guru kaunseling bergambar dalam Program Kaunselor PETRONAS (PCP) di Sandakan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

PETRONAS galak pelajar ikuti aliran STEM

SANDAKAN: Lebih 1,000 guru kaunseling di seluruh negara mendapat manfaat daripada Program Kaunselor PETRONAS (PCP) sejak dilaksanakan tahun lalu.

Program anjuran PETRONAS dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu bertujuan menyediakan guru kaunseling untuk membantu pelajar memilih kerjaya dalam bidang berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), termasuk sektor minyak dan gas.

Ketua Pelaburan Modal Insan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Nelly Francis Shariah, berkata PETRONAS melabur dalam pembangunan modal insan merangkumi pelbagai bidang bagi membolehkan kemampanan tenaga kerja berkemahiran untuk pembangunan negara.

“Menerusi PCP, kita menyediakan seminar berkaitan operasi PETRONAS di Sabah, selain Program Pembiayaan Pendidikan PETRONAS (PESP) yang diberi kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara serta Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

“PCP antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan PETRONAS untuk membantu meningkatkan sektor pendidikan. Seminar ini kali ketujuh diadakan dan sudah memberi manfaat kepada lebih 1,000 guru kaunseling,” katanya dalam Seminar PCP di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Faridah Yang Razali dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Datu Roslin Datu Saibok.

Seramai 150 guru kaunseling dari daerah Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid dan Ranau menyertai seminar dua hari itu.

Antara lain CSR dilaksanakan PETRONAS ialah membina asrama harian untuk membantu murid di pulau dan pedalaman seperti di Pulau Balambangan, Kudat.

Asrama itu memuatkan 120 murid itu sudah siap dan dijangka bakal dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Sabtu ini.

“Menerusi penyediaan asrama ini, murid di pulau berkenaan tidak lagi perlu menaiki bot untuk ke sekolah,” katanya.

Berita Harian X