Ahad, 6 Oktober 2019 | 7:11pm
Pengetua SMK Tengku Mahmud, Zahari Ahmad (tengah) bersama ahli pasukan sekolahnya yang berjaya menggondol enam anugerah peringkat antarabangsa di 4th International' Art Creativity and Engineering Exhibition 2019 yang diadakan di Universitas Ubudiah Aceh, Indonesia, Rabu lalu. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

SMK Tengku Mahmud gondol enam anugerah di Indonesia

JERTIH: Produk ‘Green Paper’ membolehkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud memenangi enam anugerah di 4th International Art Creativity and Engineering Exhibition 2019 yang diadakan di Universitas Ubudiah Aceh, Indonesia, Rabu lalu.

Lebih manis, ia kali pertama produk inovasi daripada batang pisang untuk menghasilkan kertas itu dibawa ke pertandingan peringkat antarabangsa dan menang emas.

Anugerah lain diraih pada pertandingan sama ialah Anugerah Semi Grand dan Anugerah Khas daripada Korea Invention News; Anugerah Inovasi Terbaik dan Anugerah Khas daripada Sri Rama Krishna Institute of Technology, India serta Anugerah Utama oleh Akademi Persatuan Penciptaan Kreativiti Asia.

Ketua pasukan yang juga pelajar Tingkatan Empat sekolah berkenaan, Mahani Maliki, berkata projek ‘Green Paper’ mula dilaksanakan sejak tahun lalu, namun ditambah baik dari segi inovasinya pada Mac lalu supaya lebih menarik dan kegunaan pelbagai.

Katanya, mereka mengambil masa sebulan untuk membuat persediaan menyertai pertandingan ini dan pengorbanan memperuntukkan masa kira-kira tiga jam setiap hari nyata berbaloi.

“Idea menghasilkan ‘Green Paper’ menggunakan batang pisang timbul apabila kerap melihat batang pisang terbiar berlonggok di tepi jalan dan dibuang begitu sahaja selepas buahnya diambil.

“Cetusan idea ini dikembangkan kepada guru melalui Kelab Sains sebelum dilaksanakan kajian terperinci menghasilkan produk sebelum dipelbagaikan seperti menghasilkan beg kertas, kertas, bingkai hiasan dan bunga telur.

“Produk ini dihasilkan melalui beberapa proses bermula daripada memotong batang pisang, merebus, menjemur dan dibentuk mengikut kreativiti dan penggunaannya,” katanya.

Mahani berkata, kos sebanyak 50 sen diperlukan bagi menghasilkan kertas bersaiz A3 dan satu kilogram batang pisang boleh membuat lapan helai kertas.

Selain Mahani, pasukan ini turut diwakili dua lagi pelajar Tingkatan Empat iaitu Rabiatul Adawiah Norhaiza dan Mardayana Mokhtar dan dua guru pengiring, Taksiah Yaakob dan Zariha Ibrahim.

Dua guru lain yang turut mengendalikan projek berkenaan sejak peringkat awal ialah Lee Sian Soo dan Tarmizi Yahya dan beberapa orang pelajar tingkatan lima.

Pada pameran berkenaan, Malaysia menghantar lapan pasukan iaitu lima institusi pengajian tinggi dan tiga sekolah menengah.

Negara yang mengambil bahagian pula ialah Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan India.

Sementara itu, Pengetua SMK Tengku Mahmud, Zahari Ahmad, berkata kejayaan besar pasukan sekolah dalam pertandingan antarabangsa di bawah kelolaan Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) itu sebagai satu batu loncatan untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“Projek ‘Green Paper’ ini pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan pada tahun ini sebelum dibawa bertanding ke luar negara,” katanya.

Berita Harian X