Jumaat, 20 September 2019 | 9:38am
COLEMAN (tengah) dan Wan Yusof (barisan depan, empat dari kanan) pada program ICPIE 2019 di IPG Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur. (Foto Ihsan IPGKIK)
Wan Yusof Wan Ngah.

Revolusi Perindustrian 4.0 tidak abai OKU

KUALA LUMPUR: Pemerkasaan modal insan ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 yang berasaskan kemahiran teknologi tinggi seharusnya tidak meminggirkan golongan orang kurang upaya (OKU).

Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr Rusmini Ku Ahmad, berkata penyelidikan dan penulisan mencakupi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkaitan OKU perlu disebarluaskan kepada masyarakat supaya mereka memahami kehendak dan aspirasi pelajar berkeperluan khas.

Katanya, pedagogi dan pendidikan inklusif yang dilaksanakan seharusnya mengambil kira aspirasi pembelajaran sepanjang hayat yang turut mengoptimumkan potensi OKU melalui kepelbagaian bidang bagi membentuk hidup berkualiti golongan itu.

Beliau berkata, semua kepakaran dan penyelidikan pendidikan dijalankan pendidik perlu dikongsi bersama komuniti OKU sejajar dasar kesamarataan pendidikan di negara ini.

“Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan berpegang teguh kepada meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kesamarataan dalam pendidikan tanpa meminggirkan pelajar berkeperluan khas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutupan Persidangan Antarabangsa Pedagogi dan Pendidikan Inklusif (ICPIE) 2019 di IPG Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), di sini, semalam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah IPGKIK, Wan Yusof Wan Ngah.

Persidangan dua hari itu anjuran bersama Persatuan Alumni Ilmu Khas, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) dan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) bersempena dengan sambutan 60 tahun IPGKIK.

Hadir sama, Naib Canselor UNIRAZAK, Prof Datin Paduka Dr Samsinar Md Sidin dan Yang Dipertua Persatuan Alumni Ilmu Khas, Datuk Siti Salmah Mat Jusak.

Sebanyak 60 kertas penyelidikan dibentangkan dalam sesi selari meliputi pelbagai tema seperti pedagogi baharu, pedagogi inklusif, pendidikan pribumi, sosiologi pendidikan dan kurikulum kepelbagaian pendidikan.

Turut berlangsung Program Memasyarakatkan Orang Kurang Upaya (MOKU) menerusi forum ‘OKU Berdaya OKU Berjasa’ yang antaranya menampilkan OKU Berjaya (Fizikal), Dr Aizan Sofia Amin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala moderator, Dr Muhammad Khairul Anuar Hussin, yang muncul dalam kelompok 50 finalis Hadiah Guru Global 2019 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Majlis turut diisi bengkel dan perkhidmatan salon dan spa oleh pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Indahpura, Kulai, Johor.

Sementara itu, Felo Penyelidik Kanan Kehormat Sekolah Pendidikan, University of Leeds, United Kingdom, Prof Hywel Coleman dalam ucaptamanya berkata, pedagogi baharu seharusnya tidak meminggirkan penyelidikan dan penerbitan jurnal bahasa ibunda pelajar.

Katanya, banyak bahasa ibunda warisan etnik pribumi yang menghadapi kepupusan kerana ibu bapa tidak lagi berminat mengajarnya kepada anak, selain tidak diajar di sekolah.

“Saya perhatikan ada ibu bapa kurang menghargai bahasa ibunda mereka sendiri dan tidak mahu mengajarnya kepada anak mereka, selain malu bahasa nenek moyang mereka diajar di sekolah, sedangkan penting untuk dipertahankan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Yusof berkata, penganjuran persidangan antarabangsa itu sejajar status IPGKIK sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan rujukan dalam bidang pendidikan khas.

“Penganjuran program ini memberi manfaat kepada kami untuk menjadi pusat rujukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam bidang pendidikan khas.

“Lebih istimewa lagi apabila penganjurannya menggabungkan persidangan antarabangsa dan MOKU,” katanya.

Berita Harian X