Khamis, 22 Ogos 2019 | 4:53pm
Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Isamudin Hashim (dua dari kanan) menyerahkan cek biasiswa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin kepada Wan Muhammad Jannahtul Firdaus Wan Ahmad yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Royal College Of Surgeon, Ireland. - NSTP/Baharom Bakar

Enam pelajar bakal saintis terima biasiswa RM6 juta

KUALA TERENGGANU: Enam pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima biasiswa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berjumlah RM6 juta untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di beberapa universiti luar negara.

Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Isamudin Hashim, berkata empat daripada enam pelajar terbabit sudah melaporkan diri untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa, kimia dan kejuruteraan selepas menamatkan kursus persediaan bahasa bermula 2015.

Beliau berkata, pelajar yang terpilih menerima biasiswa diperkenalkan kerajaan negeri pada 2015 untuk melanjutkan pengajian di beberapa universiti di luar negara termasuk di Jepun dan United Kingdom (UK) itu adalah lepasan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz YT.

“Mereka bukan sahaja memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan SPM, malah berjaya menghafaz al-Quran sebanyak 30 juzuk seperti ditetapkan kerajaan.

“Semua pelajar yang terpilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, doktor falsafah (Phd) dihantar untuk mengikuti kursus persediaan bahasa selama enam bulan di beberapa universiti awam (UA) terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan wang pendahuluan diri pelajar tajaan YT kepada Wan Muhammad Jannahtul Firdaus Wan Ahmad, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah YT (Pendidikan), Dr Hashim Azmi Che Noh.

Selain Wan Muhammad Jannahtul Firdaus, 20, yang akan mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, lima lagi pelajar adalah Mohammad Nur Irfan Mohd Zameri, 22, (kejuruteraan aerongkasa); Muhammad Lutfil Hadi Zainol Hady, 21 (kejuruteraan kimia); Mohammad Khairul Azri Mohd Khalid, 19, (kejuruteraan); Mohamad Amirun Mohamad Daud, 19, (kejuruteraan) dan Muhammad Hilman Nor Azmi, 18, (kejuruteraan).

Wan Muhammad Jannahtul Firdaus, 20, dari Kampung Ru Rendang, Marang, adalah anak bongsu daripada empat beradik dan ditawar mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di Royal College Of Surgeon, Ireland.

Dia yang juga anak pasangan pesara Telekom Malaysia, Wan Ahmad Wan Hasan, 59, serta Zabidah Ismail, 58, memperoleh biasiswa berjumlah RM1.3 juta dan dijangka berlepas ke Ireland awal bulan depan.

Isamudin berkata, seorang lagi bekas pelajar SM Imtiaz Kuala Terengganu yang ditawarkan melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di University of Oxford di UK, kini sedang mengikuti kursus persediaan bahasa di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, Tanjung Malim, Perak.

Dalam perkembangan lain, Isamudin berkata, kerajaan negeri sedang menyiapkan kertas cadangan untuk mensyaratkan semua pelajar tajaan YT mengikat kontrak bekerja di negeri ini selepas menamatkan pengajian.

“Tempoh kontrak berkerja di negeri ini belum ditetapkan, tetapi mungkin menyamai dengan dasar ditetapkan penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Berita Harian X