Khamis, 25 Julai 2019 | 10:39pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Hubungan Pendidikan Australia kepada guru Kolej Vokasional Keningau, Sirhajwan Idek (kiri) sempena persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) di Petaling Jaya, semalam. - NSTP/Ihsan Pembaca

Sirhajwan terima anugerah pendidikan Australia

PETALING JAYA: Guru Kolej Vokasional Keningau, Sirhajwan Idek, menjadi rakyat Malaysia pertama menerima Anugerah Hubungan Pendidikan Australia sempena persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) di sini, semalam.

Anugerah itu diberikan berdasarkan inovasi yang dihasilkannya bertajuk ‘Think Tales’ yang disampaikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pada majlis makan malam persidangan berkenaan.

Kejayaan itu membolehkan Sirhajwan, 31, menerima geran berjumlah AU$10,000 (RM28,742) untuk melaksanakan projek yang diilhamkan dari daerah asalnya di Kota Belud, Sabah.

Projek itu memfokuskan kepada penggunaan cerita etnik di Sabah seperti Bajau, Dusun dan Murut dalam pengajaran bahasa Inggeris yang meliputi pengajaran dalam kelas, aktiviti kem bahasa Inggeris, bengkel dan perkongsian untuk guru serta kajian dan terbitan.

Sirhajwan berkata, matlamat projek itu adalah untuk meningkatkan keyakinan dan kemahiran pelajar berbahasa Inggeris menggunakan medium cerita legenda dan mitos berkaitan kumpulan etnik, bahasa dan tradisi di Sabah.

Katanya, antara cerita masyarakat Bajau yang pernah ditulisnya adalah ‘Bele Bele’ (orang-orang di sawah), ‘Kanang and the Serimpak’ serta ‘Tekok Parai’ (kepala padi).

Beliau berkata, projek itu bukan saja berjaya meningkatkan minat dan kemahiran pelajar dalam bahasa antarabangsa berkenaan, malah membuatkan mereka berasa bangga dengan asal-usul, sekali gus meningkatkan kefahaman terhadap budaya pelbagai etnik di Sabah.

“Cerita pernah ditulis dan dikongsikan pelajar saya hasil projek ini adalah ‘Dang Insum’, ‘The Legend of Gunsoloi’, ‘The Origin of Balan Balan’, ‘Tombiruo’, ‘Mondowoi’ dan ‘The Misasawo and Hinava’,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Sirhajwan berkata beliau bertekad untuk memperkembangkan lagi projek ini bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar khususnya di kawasan luar bandar.

Berita Harian X