Isnin, 15 Julai 2019 | 8:48pm
Penasihat projek yang juga pensyarah FKPM, Anuar Ali (tengah) bergambar bersama pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam selepas Majlis Tayangan Dokumentari Pendek 'Sepia: Reimaging Reality', di TGV Cinemas, Central i-City, Shah Alam. - Ihsan FKPM
Penasihat projek yang juga pensyarah FKPM, Anuar Ali (tengah) bergambar bersama pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam selepas Majlis Tayangan Dokumentari Pendek 'Sepia: Reimaging Reality', di TGV Cinemas, Central i-City, Shah Alam. - Ihsan FKPM

'Sepia : Reimagine Reality' realisasi impian dua individu rabun warna

SHAH ALAM: Impian dua individu yang mengalami rabun warna untuk melihat dunia dengan warna sebenar terlaksana apabila mereka terpilih menjadi subjek dalam dokumentari pendek 'Sepia: Reimagine Reality'.

Menerusi dokumentari pendek berdurasi 10 minit hasil Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan syarikat VisionCare Optometry, dua individu berkenaan yang masing-masing mahu menerokai dunia dasar laut dan suasana di udara dapat menikmati pemandangan itu dalam warna sebenar dengan menggunakan teknologi Chromagen yang dibawa khas dari Amerika Syarikat.

Melalui teknologi Chromagen, dua individu berkenaan mampu melihat seperti individu normal lain.

Penasihat projek yang juga pensyarah FKPM, Anuar Ali, berkata karya itu juga terpilih sebagai produk pertama hasil pembikinan sepenuhnya oleh mahasiswa universiti yang ditayangkan di Panggung Samsung Onyx, TGV Cinemas, Central i-City di sini, hari ini.

"Idea asal dokumentari pendek ini bertujuan merakamkan detik bersejarah buat dua individu rabun warna yang juga seorang penyelam manakala seorang lagi pernah bercita-cita untuk menjadi juruterbang.

"Impian dua individu rabun warna ini untuk melihat keindahan warna sebenar kehidupan dasar laut dan kebiruan ruang udara dapat direalisasikan melalui teknologi Chromagen.

"Teknologi yang menggunakan cermin mata dan kanta lekap khas dari Amerika Syarikat ini diterbangkan buat pertama kali ke Malaysia untuk tujuan pembikinan dokumentari berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, penapis haploskopik Chromagen berfungsi dengan menukarkan gelombang setiap warna ke dalam satu atau kedua-dua mata yang meningkatkan persepsi dan diskriminasi warna.

Katanya, antara lokasi penggambaran video bagi projek berbentuk kemasyarakatan yang memfokuskan kepada komuniti rabun warna berkenaan dijalankan disekitar Pulau Lang Tengah yang juga satu daripada destinasi tercantik di Malaysia.

"Dokumentari ini dihasilkan oleh 20 pereka muda FKPM dengan sokongan penuh pakar mata daripada syarikat VisionCare Optometry.

"Projek ini adalah kolaborasi bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, VisionCare Optometry dan Unit Pengurusan Non-Resident UiTM. Penaja bersama daripada pelbagai pihak seperti TGV Cinemas Central i-City Shah Alam, ATV Kemensah, ComeSee, Chill Chill, Food Rush Cafe dan BBQ Lamb Kemensah," katanya.

Sementara itu, rakaman memori dan ekspresi dua individu bertuah itu ditayangkan pada hari ini dan turut dihadiri komuniti rabun warna, pakar akademik dan industri serta orang awam yang berminat untuk menerokai kehidupan komuniti rabun warna yang jarang mendapat tumpuan.

Berita Harian X