Khamis, 20 Jun 2019 | 4:56pm
APCBH & NST 2018 menawarkan hadiah berjumlah hampir RM50,000 kepada pelajar cemerlang 2018, guru serta sekolah.

APCBH & NST 2018 tawar hadiah hampir RM50,000

KUALA LUMPUR: Hadiah berjumlah hampir RM50,000 menanti pemenang Anugerah Pelajar Cemerlang BH dan New Straits Times (APCBH & NST) 2018.

Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi, berkata berikutan penyertaan yang menggalakkan dan permintaan ramai, tarikh tutup penyertaan anugerah berkenaan dilanjutkan hingga ke 12 Julai depan.

Katanya, pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dipelawa untuk menyertainya.

“Anugerah ini terbuka kepada semua pelajar yang pernah menyertai Klinik UPSR BH Didik atau Seminar/ Bengkel PT3 BH Minda serta SPM BH Skor pada tahun lalu.

“Selain itu, pelajar (secara individu) atau sekolahnya melanggan sisipan pendidikan BH (Didik, Minda dan Skor) atau NST (School Times) atau FullAMark juga layak menyertainya,” katanya.

Pelajar yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan dalam akhbar BH menerusi sisipan Didik, Minda, Skor dan NST School Times atau ikuti Facebook BH Pendidikan, FullAmark serta School Times.

APCBH & NST 2018 menyaksikan beberapa kategori baharu diperkenalkan termasuk Personaliti Pilihan BH Didik, Minda dan Skor, Pencapaian Bahasa Inggeris Terbaik (School Times) dan Rakan Langganan Sisipan BH/NST.

Mengulas lanjut, Farah Ezrin berkata, bagi kategori Rakan Sekolah Cemerlang masing-masing untuk sekolah rendah dan menengah hadiah sebanyak RM12,000 disediakan iaitu RM5,000 untuk tempat pertama, RM4,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga).

Katanya, sekolah rendah dan menengah yang melanggan produk pendidikan NSTP serta mempunyai pencapaian akademik dan kokurikulum cemerlang digalakkan untuk merebut gelaran berkenaan.

“Bagi kategori Pendidik Kreatif, penyertaan terbuka untuk guru itu adalah bagi memberi pengiktirafan kepada warga pendidik yang menggunakan akhbar BH atau NST sebagai bahan pengajaran.

“Kategori UPSR, PT3 dan SPM pula, lima pemenang untuk setiap kategori akan menerima wang tunai RM1,000, sijil dan trofi eksklusif APCBH & NST 2018 yang akan tertera nama penerima,” katanya.

Penyertaan boleh dihantar ke alamat Anugerah Pelajar Cemerlang BH & NST 2018, P.O Box 10049, Pejabat Pos Besar, 50902 Kuala Lumpur. Terma dan syarat boleh dirujuk di laman web www.fullamark.com.my

Buat julung kalinya, penganjuran turut menerima penghantaran melalui e-mel dengan melampirkan setiap dokumen dalam format jpeg, 300 dpi ke upen@bh.com.my dengan tajuk ‘Anugerah Pelajar Cemerlang BH & NST 2018’.

Berita Harian X