Rabu, 19 Jun 2019 | 4:54pm
UM muncul antara tujuh peratus institusi terbaik dunia daripada 1,001 yang menyertai penarafan QS-WUR 2020. Foto: Aziah Azmee.
UM muncul antara tujuh peratus institusi terbaik dunia daripada 1,001 yang menyertai penarafan QS-WUR 2020. Foto: Aziah Azmee.

UM mahu terus lonjak standard pendidikan tinggi negara

KUALA LUMPUR: Kejayaan Universiti Malaya (UM) menduduki tangga ke-70 universiti terbaik dunia berdasarkan Quacquarelli Symonds World University Ranking (QS-WUR) 2020 memperlihatkan peningkatan konsisten dan mantap dalam pengiktirafannya sebagai satu daripada universiti terkemuka di dunia dalam bidang pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, inovasi serta pengantarabangsaan.

Naib Canselor UM, Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Hashim, berkata beliau gembira dan berbangga dengan pencapaian diperoleh universiti itu, malah kejayaan terbabit menjadi penanda aras untuk meletakkan UM sebagai antara universiti cemerlang di peringkat antarabangsa sekali gus meningkatkan taraf pendidikan tinggi di negara ini.

Katanya, pencapaian itu sejajar dengan misi memastikan UM diiktiraf sebagai institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan serta inovasi.

“UM berjaya mengekalkan peningkatannya dalam menghadapi cabaran fiskal, kebijaksanaan dan nilai peningkatan sokongan kewangan daripada kerajaan untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajaran, pembelajaran, penyelidikan serta inovasi pada masa akan datang.

“Peningkatan pelaburan akan membolehkan universiti meningkatkan kerjasama antarabangsa, mempertingkatkan penyelidikan strategik dan perkongsian industri sekali gus meningkatkan kebolehpasaran siswazah yang menjadi keutamaan universiti.

Abdul Rahim berkata, menerusi sokongan berterusan Kementerian Pendidikan (KPM), beliau berharap UM dapat terus mengekalkan kedudukan sebagai universiti utama dan berprestij di Malaysia serta terus melakar kecemerlangannya di peringkat antarabangsa.

“Terima kasih kepada Canselor, Pro-Canselor dan Lembaga Pengarah atas sokongan yang tidak berbelah bagi serta komuniti UM, pelajar, kakitangan serta alumni atas komitmen mereka terhadap pencapaian prestasi universiti pada QS-WUR 2020.

“Saya berterima kasih atas sokongan yang diberikan KPM bagi membolehkan UM berjaya memainkan peranan utama dalam usahanya untuk meningkatkan profil institusi pendidikan tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak 2014, UM telah menunjukkan peningkatan konsisten sebanyak 97 tempat seiring dengan pelan strategik universiti.

QS WUR diukur menggunakan enam kriteria untuk menentukan sistem penarafannya iaitu Reputasi Akademik (40 peratus), Reputasi Majikan (10 peratus), Nisbah Fakulti/ Pelajar (20 peratus), Sitasi mengikut Fakulti (20 peratus), Nisbah Fakulti Antarabangsa (lima peratus) dan Nisbah Pelajar Antarabangsa (lima peratus).

Berita Harian X