Jumaat, 14 Jun 2019 | 7:11pm
SEBAHAGIAN daripada 130 penerima biasiswa bergambar bersama Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan (lima dari kanan) semasa Majlis Penganugerahan Biasiswa Yayasan Tenaga Nasional (YTN) 2019 di sini, baru-baru ini.

TNB sedia RM1 bilion taja pelajar cemerlang sejak 1993

KUALA LUMPUR: Seramai 130 pelajar cemerlang dalam akademik menerima Biasiswa Yayasan Tenaga Nasional (YTN) 2019 untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi, di sini, hari ini.

Penerima biasiswa meliputi pelajar pelbagai latar belakang keluarga yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018, selain aktif kokurikulum.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan, berkata faktor akademik dan kepemimpinan penting dalam pemilihan penerima biasiswa YTN.

Katanya, pelajar terpilih berpeluang cerah berkhidmat di TNB apabila tamat pengajian kelak, selain pengurusan syarikat utiliti itu menyasarkan mereka menjadi peneraju TNB pada masa depan.

Beliau berkata, pihaknya mahu program biasiswa itu dapat membentuk dan melahirkan generasi berkualiti tinggi yang cemerlang dalam akademik, di samping memiliki bakat kepemimpinan tinggi.

“Sehingga kini lebih 12,000 pelajar cemerlang menerima manfaat YTN sejak 1993 dengan perbelanjaan keseluruhan hampir RM1 bilion,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Amir Hamzah juga berkata, selain biasiswa, YTN turut menyediakan siri program pembangunan melalui `Scholar Development Journey’ bagi membantu pelajar tajaannya mencapai kecemerlangan akademik, di samping mempunyai daya saing serta nilai dan prinsip yang tinggi.

Sementara itu, penerima Biasiswa YTN 2018, Mior Danial Hakeem Mior Md Salleh, 19, bertekad memanfaatkan sepenuhnya tajaan berkenaan untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kerjaya pada masa depan.

“Saya berjanji tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan ini dan akan membuktikan bahawa pelajar tajaan YTN 2019 adalah generasi cemerlang dan gemilang dalam pelbagai aspek,”

katanya yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Kuasa (Kepujian).


PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Berita Harian X