Ahad, 26 Mei 2019 | 3:06pm
Penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dilantik sebagai Ahli Senat Harun Osman (dua dari kanan) dan Ahmad Suffian Mohd Dalizan (kanan) bergambar bersama Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (tiga dari kanan) di hadapan Dewan Senat UniSZA. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

2 penuntut pertama dilantik sebagai Ahli Senat universiti awam di Malaysia

2 penuntut pertama dilantik sebagai Ahli Senat universiti awam di Malaysia

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi universiti awam pertama di Malaysia melantik dua penuntut menjadi Ahli Senat universiti hari ini.

Penuntut yang dilantik ialah penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah), Harun Osman dan penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Ahmad Kamil Makhtar.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa, Ahmad Suffian Mohd Dalizan dan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan, Ain Syazana Zolkepli, pula dilantik sebagai pemerhati dewan.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata pelantikan itu adalah langkah strategik UniSZA bagi menyahut seruan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu memberi nafas baharu dalam proses pemerkasaan penuntut.

“Kami melantik dua penuntut sebagai Ahli Senat universiti manakala dua lagi sebagai pemerhati yang terdiri dalam kalangan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA.

“Tempoh lantikan mereka selama dua tahun atau sehingga tamat pengajian, dan UniSZA bercadang untuk melantik lebih ramai lagi ahli senat dalam kalangan penuntut mengikut keperluan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Senat Bulanan UniSZA di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Kamil berkata, dia berasa bertuah diberi peluang menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Senat UniSZA.

“Rasa terharu bercampur gugup apabila menjadi penuntut pertama dilantik sebagai ahli senat UniSZA dan saya berikrar akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin.

“Pemilihan ini secara tidak langsung memberi pengalaman baharu kepada saya dan tiga rakan lagi selain dapat membina jati diri sebagai seorang pemimpin,” katanya.

Harun pula berkata, dirinya tidak menyangka diberi kepercayaan oleh pihak UniSZA untuk memegang peranan penting sebagai Ahli Senat UniSZA.

“Ia bukan sahaja peluang tetapi penghargaan dan kepercayaan UniSZA kepada penuntut, sekali gus memberi motivasi serta perangsang kepada kami.

“Peluang yang diberikan ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sekali gus memberi peluang kepada penuntut lain untuk merasai pengalaman bersidang di dewan Mesyuarat Senat UniSZA,” katanya.

Berita Harian X