Khamis, 16 Mei 2019 | 12:05pm
PRO-NAIB CANSELOR (Kampus UTMKL), Prof Dr Shamsul Sahibuddin (tiga dari kanan) mengatakan sesuatu kepada pengawal keselamatan pada pelancaran Rondaan Kampus Lestari di Dewan Seminar, Menara Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Rondaan kampus lestari di UTMKL

KUALA LUMPUR: Komitmen dan peranan universiti penting untuk membantu negara mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi kelestarian masyarakat.

Sehubungan itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited meneruskan agenda berkenaan melalui Pelancaran Program Rondaan Kampus Lestari di kampus Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Menerusinya, sebanyak tujuh basikal elektrik bersifat mesra alam dan tanpa karbon disediakan kepada pasukan keselamatan di kampus itu.

Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof Dr Shamsul Sahibuddin, berkata program itu seiring langkah memperkenalkan UTMKL sebagai kampus yang bukan hanya mempunyai gaya hidup urban tetapi mementingkan kelestarian.

“Misi program ini untuk memperkenalkan teknologi penggunaan pengangkutan rendah tenaga dengan penyediaan alternatif pengangkutan dan menyelaraskan elemen kampus lestari di UTM.

“Usaha dilaksana ini menyokong pelan pengurusan karbon yang dilancarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha memastikan ibu negara bebas karbon menjelang 2030.

Pada acara itu, turut diadakan sesi kupasan buku lestari oleh dua pensyarah iaitu Prof Madya Ir Dr Mohd Fadhil Md Din dengan buku bertajuk The Greenman’s Guide to Green Living and Working manakala Dr Pramila Tamunaidu mengupas buku berjudul Cradle to Cradle: Remaking the Way We Make Things.

Pelaksanaan program itu antara lain akan membantu mencapai sasaran Matlamat Ketujuh SDG iaitu memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki, boleh dipercayai, lestari dan moden untuk semua.

Selain itu, bagi menyokong Matlamat Ke-11 iaitu menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan serta lestari.

Berita Harian X